PRESTASI Azeem (kiri) dan Shereen di AUG 2024 bakal menjadi penentu slot wild card ke Paris 2024. FOTO AIDA ADILAH MAT
PRESTASI Azeem (kiri) dan Shereen di AUG 2024 bakal menjadi penentu slot wild card ke Paris 2024. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard teruja menantikan pencapaian jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pemegang rekod 400 meter (m), Shereen Samson Vallabouy di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Malang-Surabaya.

Ia susulan selepas KOM mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta hanya akan membuat keputusan berhubung siapa yang layak beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 atas tiket wild card selepas tamatnya acara mereka di AUG.

Ballard berkata, tiada yang mustahil dengan Azeem dan Shereen dilihat mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara masing-masing.

"Tiada masalah untuk Azeem mahukan Shereen memecahkan rekod dan mereka boleh melakukan yang terbaik di AUG. Apa saja mungkin berlaku di sana.

"Jadi saya menanti apa yang dapat mereka lakukan di AUG untuk menilai pencapaian mereka tahun ini sebelum menuju ke 2025," katanya.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada 2022.

Shereen pula awal bulan ini memperbaharui rekod kebangsaan miliknya menerusi catatan 51.79s di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai kemungkinan Shereen beraksi dalam acara 100m di AUG, Ballard berkata, ia tidak mungkin akan berlaku kerana tempoh pendaftaran sudah tamat.

Semalam, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan induk itu memerlukan sedikit masa lagi sebelum memutuskan atlet yang mengalas tugas di Paris 2024.

Beliau berkata, keputusan hanya akan dibuat pada 2 atau 3 Julai ini sejurus selepas tamatnya acara Azeem dan Shereen di AUG.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 6:48 PM