AZEEM dan Shereen. -FOTO Bernama
AZEEM dan Shereen. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kebijaksanaan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) diperlukan untuk memilih sama ada Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy bagi menggalas cabaran negara di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 memandangkan hanya satu tiket 'wild card' ditawarkan kepada Malaysia.

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad berkata, jika mengikut acara yang ditawarkan itu adalah 100 meter (m) dan 800m, sudah tentu secara tidak langsung ia lebih sesuai diberikan kepada Azeem.

Jelasnya, Shereen juga ada kelebihan dia tetapi acara kegemarannya adalah 400m.

"Pandangan saya, kalau dalam konteks acara yang ditawarkan tu memang lebih kepada Azeem pun sebab dia ingin melayakkan diri ke Olimpik (Paris) dalam acara 100m sementara Shereen pula acara 400m. Terbaru yang saya baca di surat khabar, Shereen tiada masalah untuk bertukar ke acara 100m.

"Tapi dalam keadaan ini kita tengok pada prestasi, Azeem dia ada (momentum). Macam saya kata tadi, dia punya 'benchmark' dia, dia menang Sukan Asia pingat gangsa (acara 100m) dan banyak kali bertanding di dalam acara 100m di pertandingan kompetitif. Dalam acara pecut.

"Shereen pula menang pingat di Sukan Asia dalam 400m dan dia pun pecahkan rekod kebangsaan dua kali tapi dalam acara itu. Jadi pada pandangan saya, acara itu lebih sesuai kepada Azeem," katanya.

Akan tetapi, Nazmizan yakin KOM mempunyai kriteria terbaik dan mampu melakukan keputusan tepat mengikut acara yang ditawarkan sekali gus membolehkan atlet itu terus menyiapkan memandangkan temasya terbesar dunia itu akan bermula bulan hujung bulan hadapan.

Terdahulu, rentak Shereen jelas sukar digugat apabila memenangi pingat emas di Terbuka Kazakhstan, semalam.

Atlet berusia 25 tahun meraih emas dengan catatan masa 52.60 saat (s) pada aksi final yang berlangsung di Pusat Latihan Olimpik Almaty.

Manakala Azeem mengakhiri saingan final 100m lelaki di tempat ketiga dengan catatan 10.37s. Acara berkenaan dimenangi Puripol Boonson dari Thailand dengan catatan masa 10.23s manakala perak milik pelari Turkiye, Kayhan Ozer, 10.25s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:43 PM