AZEEM mahu fokus acara 100m esok.
AZEEM mahu fokus acara 100m esok.
Asrol Awang


Kuantan: Impian pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk layak ke final 200 meter tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan selepas melakukan `false start' pada separuh akhir acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata pembatalan itu bukannya disebabkan mahu memberikan tumpuan kepada acara kegemaran 100 meter yang berlangsung esok, sebaliknya ia berlaku di luar kawalannya.

"Ia terjadi di luar kawalan. Saya minta maaf dan masih berterima kasih kepada orang ramai yang hadir untuk menyaksikan acara ini.

"Tidak ada rezeki saya untuk acara ini (200m) dan kini saya akan fokus kepada acara 100m dan insha-Allah, doakan yang terbaik untuk larian esok," kata pelari berumur 20 tahun itu.

Pada peringkat saringan 200m, Muhammad Azeem Fahmi mencatat 21.32 saat (s) pada sesi pagi.

Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit.

Berdasarkan rekod, jawatankuasa pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu menyerahkan nama sama ada Azeem atau pelari 400m, Shereen Samsons Vallabouy kepada Majlis Olimpik Malaysia sebelum 8 Julai ini, sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.

Azeem akan mengharungi beberapa kejohanan berturut-turut bermula dengan Terbuka Malaysia diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti Asean 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2-5 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:48 PM