AZEEM dan Hannah  bergambar bersama pelajar serta guru selepas Sesi "Meet & Greet" di SMK Presint 8 (1), Putrajaya.  FOTO Aizuddin Saad
AZEEM dan Hannah bergambar bersama pelajar serta guru selepas Sesi "Meet & Greet" di SMK Presint 8 (1), Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Mohammad Azeem Fahmi optimis untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary dari 19 hingga 27 Ogos ini.

Namun ketika ini siapa yang akan layak ke kejohanan berkenaan masih menjadi persoalan apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum memutuskan wakil negara atas tiket wild card.

Begitupun berdasarkan kedudukan ranking, Azeem menduduki ranking tertinggi negara dan berpeluang cerah untuk ke kejohanan berkenaan apabila berada di tangga ke-90 dunia dengan mengumpul 1186 mata.

Antara nama lain menjadi sebutan ketika ini menggunakan tiket wildcard adalah pelari jarak sederhana, Shereen Samson Vallabuoy.

Manakala Shereen pula berada di ranking ke-116 dunia, namun tahun ini pelari kelahiran Ipoh tersebut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan memenangi pingat emas Sukan Sea Kemboja 2023 selain turut memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) pecut wanita.

"Kejohanan Dunia di Budapest bulan depan adalah satu kejohanan besar bagi saya. Saya harap saya dapat ke Kejohanan Dunia untuk memantapkan persediaan saya.

"Jika saya diberi peluang saya akan cuba sehabis baik bersaing dengan pelari pecut bertaraf dunia," katanya.

Azeem ketika ditemui pada sesi 'Meet & Greet' bersama Muhammad Azeem di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya mengakui penyertaan di Kejohanan Dunia baik bagi dirinya menuju ke Sukan Asia Hangzhou, China September ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah pemegang rekod kebangsaan 400m Umar Osman bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu Hannah ketika ditemui berkata program yang pertama kali dianjurkan bersama pelajar sekolah diharapkan akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak lagi program sedemikian agar dapat memberi inspirasi serta dorongan kepada pelajar untuk bergiat aktif dalam sukan seperti Azeem dan Umar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 8:45 PM