AZEEM dan Shereen calon pilihan untuk tiket wildcard ke Olimpik.
AZEEM dan Shereen calon pilihan untuk tiket wildcard ke Olimpik.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), menyenaraikan Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy dalam senarai pendek sebagai cadangan nama untuk diberikan tiket 'wildcard' di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Pengarah Kejurulatihan, Robert Ballard pihaknya masih menaruh harapan agar dua atlet terbabit boleh melayakkan diri secara merit, meskipun sedar agak sukar melakukannya.

"Kita akan menghantar dua nama ini kepada Jawatankuasa Pemilihan Atlet KOM sebelum 30 Mei untuk diputuskan siapa yang akan diberikan wildcard, untuk KOM hantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 30 Jun.

"MOM akan menghantar nama kepada Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum 8 Julai," katanya pada sidang media KOM di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

Ujarnya, hanya atlet 100 meter (m) dan 800m boleh diberi tiket wildcard ke Paris 2024.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 100m, dengan catatan 10.09 saat (s) melakukan catatan terbaik musim ini 10.24s, ketika di Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatannya itu masih terlalu jauh dari had kelayakan Olimpik Paris, 10.0s.

Sementara itu, Shereen pemegang rekod kebangsaan 400m dengan catatan 51.80s, perlu sekurang-kurangnya mencatat masa 50.95s untuk layak secara merit.

Pada Kejohanan Baytaf Classics, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi, dia mencatat masa 52.85s, dan masih jauh dari had kelayakan.

Ballard berkata, jika berpeluang diberikan wildcard sekalipun, Shereen mungkin diberi peluang berlari dalam acara 100m wanita.

"Shereen ada juga berlari dalam acara 100m sebelum ini dan dia mempunyai catatan terbaik 11.61s.

"Dalam acara 400m, Shereen perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk menghidupkan peluangnya secara merit, jadi amat sukar untuk dia namun masih ada kejohanan di sana hujung minggu akan datang sebelum dia pulang menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

"Kita juga ada memohon untuk memasukkan Shereen dan Azeem ke kejohanan di Kazakhstan 22 Jun depan, kejohanan bertaraf gangsa," katanya.

Bagaimanapun, Ballard berkata, jika kedua-dua atlet tidak layak secara merit, masih ada peluang menggunakan kuota 'unqualify athletes' yang diberikan satu kuota kepada setiap negara yang tidak mempunyai atlet ke temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:25 PM