AZEEM raih tiket wild card dalam acara 100m. FOTO AIZUDDIN SAAD
AZEEM raih tiket wild card dalam acara 100m. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi dipilih membawa cabaran negara ke Kejohanan Dunia di Budapest Hungary bermula dari 19 hingga 27 Ogos ini berdasarkan tiket wild card dalam acara 100 meter (m).

Keputusan itu menyaksikan rayuan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk turut sama menyenaraikan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy di tolak oleh Persekutuan Olahraga Dunia (WA) apabila mereka hanya membenarkan KOM menyenaraikan atlet terbaik berdasarkan ranking.

Naib Presiden KOM, Syamsul Bani Abdullah ketika dihubungi berkata, berdasar syarat itu tempat ke Kejohanan Dunia itu akan menjadi milik Azeem.

"Azeem akan menjadi wakil tunggul negara ke Kejohanan Dunia apabila rayuan untuk kita menghantar dua orang atlet di tolak WA.

"Mereka hanya membenarkan kita menghantar seorang atlet terbaik berdasarkan ranking dan atlet itu adalah Azeem.

"Di Kejohanan Dunia itu nanti saya harap, Azeem dapat buat yang terbaik untuk dia dan negara dan ia juga satu pendedahan yang terbaik buat Azeem sebagai persiapan ke Sukan Asia, Hangzhou nanti," katanya.

Azeem yang sudah pun kembali ke Amerika Syarikat Ahad lalu kini menduduki ranking tertinggi negara apabila berada di tangga ke-90 dunia selepas mengumpul 1186 mata.

Manakala Shereen pula berada di ranking ke-116 dunia, namun tahun ini pelari kelahiran Ipoh tersebut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan memenangi pingat emas Sukan Sea Kemboja 2023 selain turut memecahkan rekod kebangsaan acara 400m wanita.

Penyertaan Azeem ke Kejohanan Dunia itu akan diiringi oleh jurulatihnya sebelum ini Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah atas tiket jurulatih tempatan.

Untuk rekod, atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh sebelum ini pernah layak ke kejohanan tertinggi olahraga itu secara merit apabila berjaya melepasi ketinggian 2.30m ketika 2017 dan turut beraksi di kejohanan yang sama atas tiket wild card tahun lalu.

Nauraj bagaimanapun gagal mempamerkan lompatan sempurna apabila tersingkir seawal pusingan kelayakan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Oregon, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 3:44 PM