STEINHAUSER bersorak kegembiraan selepas tiba di garisan penamat untuk memenangi peringkat ke-17. FOTO REUTERS
STEINHAUSER bersorak kegembiraan selepas tiba di garisan penamat untuk memenangi peringkat ke-17. FOTO REUTERS
AFP

Passo del Brocon, Itali: Pelumba muda Jerman, Georg Steinhauser memenangi peringkat ke-17 Giro d'Italia, semalam, sambil Tadej Pogacar mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan.

Pelumba EF berusia 22 tahun itu yang meloloskan diri secara solo di puncak gunung itu adalah anak saudara kepada bekas juara Tour de France dan Vuelta a Espana, Jan Ullrich.

Dia turut menduduki tempat ketiga pendakian peringkat Queen pada Ahad lalu.

Ia adalah kemenangan peringkat pertama sejak menjadi pelumba profesional selepas berkayuh sendirian pada 30 kilometer (km) terakhir dan menamatkan kayuhan di puncak Passo del Brocon selepas perlumbaan sejak 159km dari Selva di Val Gardena.

Dia membuat pemisahan bersama-sama Amanuel Ghebreigzabhier ketika perlumbaan berbaki 50km, tetapi kemudian bergerak sendirian ke garisan penamat.

"Ia adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Saya sedar memiliki kaki yang bagus dan fikir berkemampuan memenangi peringkat perlumbaan," kata Steinhauser.

"Hari ini, saya berkayuh sambil memberikan isyarat mengenai apa yang difikirkan iaitu saya memiliki kaki yang bagus dan akan menang hari ini," katanya selepas menamatkan perlumbaan satu minit dan 23 saat (s) di depan Pogacar, yang meloloskan diri daripada kelompok besar pada 2km terakhir dan kini mengatasi Daniel Martinez dengan kelebihan tujuh minit dan 42s.

Pada satu ketika, Pogacar dilihat mungkin mengulangi pencapaian menakjubkan pada Selasa lalu apabila dia memintas Giulio Pellizzari pada kilometer terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:05 AM