THOMAS meraikan kemenangan. FOTO Reuters
THOMAS meraikan kemenangan. FOTO Reuters
Agensi

Lucca, Itali: Pelumba Perancis Benjamin Thomas mencipta kejutan dengan memenangi peringkat kelima Giro d'Italia semalam manakala Tadej Pogacar mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan.

Thomas bersama Enzo Paleni, Andrea Pietrobon dan Michael Valgren berjaya meloloskan diri daripada ploton ketika perlumbaan berbaki 80 kilometer dan mereka gagal dikejar sehingga penamat.

Pietrobon yang pertama memulakan 'serangan' pada kilometer terakhir sebelum pelumba Itali itu gagal bertahan yang membolehkan pelumba Cofidis, Thomas melakukan pecutan bertenaga untuk mengesahkan kemenangan.

Pelumba Denmark Valgren di tangga kedua dan Pietrobon ketiga manakala juara dua kali Tour de France, Pogacar kekal 46 saat di depan jaguh Britain Geraint Thomas dalam carta keseluruhan.

Selepas meraih kemenangan saingan peringkat pertama di Grand Tour musim ini, Thomas berkata: "Kami melakukan pemisahan dengan cemerlang yang sukar saya percaya. Sangat sengit di penghujung, setiap pecutan penuh dengan gas, memang menakjubkan."

Perlumbaan peringkat keenam sejauh 180km berlangsung hari ini dari Torre del Lago Puccini ke Rapolano Terme.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 10:47 AM