FARID (kanan) bersama para pemenang Kejohanan Siri Satelit PSA WSF yang dianjurkan oleh Ace Sports & Management. FOTO Ihsan RedONE Network Sdn Bhd
FARID (kanan) bersama para pemenang Kejohanan Siri Satelit PSA WSF yang dianjurkan oleh Ace Sports & Management. FOTO Ihsan RedONE Network Sdn Bhd
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Malaysia sudah bersedia untuk menempa kejayaan dalam dunia skuasy menerusi pelancaran jelajah Satelit 12 siri Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF) bermula Februari tahun ini.

Kejohanan tempatan yang dilaksanakan menerusi penajaan dan sokongan syarikat telekomunikasi RedONE Network Sdn Bhd itu bertujuan untuk meningkatkan kedudukan pemain tempatan di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus, menyatakan komitmen syarikat untuk memupuk bakat pemain bertaraf dunia menerusi peruntukan dana bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehan atlet yang berbakat.

Katanya, penyertaan pemain skuasy dalam pelbagai jelajah penting kerana ia membolehkan mereka mengumpul mata kedudukan antarabangsa, mendapat pendedahan, dan meraih wang kemenangan.

"Ramai pemain muda yang masih baru dalam sirkit profesional ini berasa agak sukar menjelajah ke negara seperti Mesir, United Kingdom atau Australia untuk bertanding bagi memperoleh mata kedudukan.

"Justeru, kejohanan yang berlangsung di negara kita sendiri ternyata sesuatu yang sangat baik. Ia menyediakan peluang yang luar biasa untuk pemain kita menunjukkan peningkatan," katanya.

Farid yang juga Presiden Persatuan Skuasy Selangor (SRAS) sejak lapan tahun lalu berkata, pihaknya juga turut mengetengahkan kisah kejayaan legenda skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David, sebagai bukti bahawa negara mempunyai potensi untuk melahirkan juara dunia dalam sukan ini.

Katanya, kesemua itu mampu dilakukan asalkan pihak yang terlibat mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi untuk menjalankan usaha penambahbaikan kemudahan dan pendedahan dalam kalangan pemain.

"Kami berdedikasi untuk memupuk bakat di peringkat akar umbi terutamanya dalam kalangan pemain muda, sekali gus membolehkan mereka bersaing dan meraih pendedahan sewajarnya. Tanpa usaha sedemikian, bakat mereka mungkin sukar untuk berkembang," ujarnya.

Kejohanan Satelit keenam PSA WSF dijadualkan berlangsung pada 13 Julai ini di Kompleks Sukan Astaka yang telah diperbaharui kemudahannya di Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 4:02 PM