AB Rauf (tengah) bersama pegawai dan pemain ketika merasmikan kejohanan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AB Rauf (tengah) bersama pegawai dan pemain ketika merasmikan kejohanan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak 28 pasukan perempuan bawah 12 tahun berentap bagi merebut Piala Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan Datuk Tambichik Karim (SKDTK), Masjid Tanah, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali dianjurkan SKDTK dan Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) terbabit antara pendedahan kepada akar umbi untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain bola sepak wanita di Melaka.

Ab Rauf berkata, kejohanan itu platform terbaik untuk melahirkan murid yang cergas fizikal dan mental selain membentuk atlet berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan memiliki jati diri yang kental.

Menurutnya, kejohanan bukan sahaja untuk menentukan juara, malah memupuk semangat kesukanan selain mendidik murid berkaitan erti pengorbanan masa dan tenaga bagi mencapai kejayaan.

"Sebagai Presiden MAFA, saya menyambut baik penganjuran program sukan seperti ini kerana ia antara usaha menyemarakkan kembali bola sepak wanita di peringkat akar umbi di Melaka.

"Saya mahu lihat dalam masa beberapa tahun lagi ada dalam kalangan pemain ini menyarung jersi skuad Hang Tuah, sekali gus mengekalkan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah," katanya selepas merasmikan kejohanan berkenaan.

Rauf berkata, selain piala, beberapa anugerah turut diperkenalkan antaranya pemain dan penjaga gol terbaik serta penjaring terbanyak kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 9:02 PM