BUKIT JALIL 20 OKTOBER 2017. Aksi atlet skuasy negara S Sivasangari ketika menentang Satomi Watanabe dari Jepun pada Separuh Akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. Sivasangari menang 11-8, 6-11, 11-2, 11-7. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
BUKIT JALIL 20 OKTOBER 2017. Aksi atlet skuasy negara S Sivasangari ketika menentang Satomi Watanabe dari Jepun pada Separuh Akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. Sivasangari menang 11-8, 6-11, 11-2, 11-7. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
BERNAMA

PEMAIN skuasy remaja kebangsaan, S Sivasangari (gambar) bertekad untuk berada dalam kelompok 40 pemain terbaik dunia dalam ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) menjelang hujung tahun ini.

Pemain kelahiran Kedah berusia 18 tahun itu yang kini berada di ranking ke-47 dunia, yakin sasaran berkenaan mampu dicapai jika dapat mengekalkan prestasi baiknya pada tiga kejohanan akan datang.

Kejohanan itu adalah Terbuka Australia (14-18 November), Kejohanan Antarabangsa CAS di Islamabad, Pakistan (17-22 Disember) dan Terbuka Remaja British 2018 (3-7 Januari 2018).

“Bukan mudah meraih keputusan yang baik dalam kesemua kejohanan itu kerana ramai pemain terbaik turut beraksi, namun saya akan mempamerkan prestasi terbaik pada setiap kejohanan bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Yayasan CIMB di sini, hari ini.

Mengenai prestasinya secara keseluruhan musim ini, Sivansagari sangat berpuas hati dengan pencapaiannya, namun berazam meraih kejayaan lebih cemerlang apabila bergelar pemain skuasy sepenuh masa, tahun depan.

Sivasangari menikmati musim cemerlang tahun ini dengan merangkul pelbagai gelaran termasuk membantu pasukan negara meraih pingat perak pada Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia di New Zealand, Julai lalu.

Dia juga memenangi dua pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos serta meraih dua kejuaraan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM) bulan lalu, selain muncul juara Terbuka Malaysia, minggu lalu.

“Saya baru menamatkan pengajian A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar pada Ogos lalu, jadi ia memberi kelegaan untuk memberi tumpuan terhadap persiapan saya menghadapi kejohanan akan datang.

“Semoga tahun depan menjadi tahun lebih baik bagi saya meraih banyak lagi kejayaan dan berada dalam kelompok 10 terbaik pada masa akan datang,” kata Sivasangari sambil mengucapkan terima kasih kepada Yayasan CIMB yang sentiasa memberi sokongan untuk pembangunan bakat skuasy di negara ini.

Pada majlis itu juga, Yayasan CIMB melancarkan loga baharu dan slogan ‘Memperkasa Komuniti,

Mengubah Kehidupan’ sempena ulang tahun ke-10 yayasan berkenaan.

Sejak ditubuhkan pada 2007, Yayasan CIMB sudah mengagihkan lebih RM100 juta melalui 962 inisiatif dengan memberi manfaat kepada 700,000 individu di seluruh rantau ASEAN dalam tiga kategori utama – pembangunan masyarakat, pendidikan dan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:24 PM