NICOLE (tengah) dan Wee Wern (dua dari kanan) menunjukkan trofi bakal jadi rebutan pada Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 sambil disaksikan Chandaran (kanan) dan Ketua Promosi, Jadish Kumar (dua dari kiri). FOTO MOHD AMIN JALIL
NICOLE (tengah) dan Wee Wern (dua dari kanan) menunjukkan trofi bakal jadi rebutan pada Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 sambil disaksikan Chandaran (kanan) dan Ketua Promosi, Jadish Kumar (dua dari kiri). FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menampilkan beberapa pemain ternama dunia, Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 edisi ke-13 di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, bulan depan, harus menjanjikan saingan sengit dan menarik.

Mostafa Asal, Karim Abdel Gawad dan Nour Al Tayeb dari Mesir; Saurav Ghosal (India), Muhammad Asim Khan (Pakistan), Ben Smith (England) dan juara remaja dunia dari Mesir, Amina Orfi adalah antara 48 pemain dari 20 negara yang akan berentap pada kejohanan dari 6 hingga 10 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ACE Sport & Management selaku penganjur kejohanan, M Chandaran berkata, kejohanan berstatus Siri Jelajah Dunia PSA (Persatuan Skuasy Profesional) Peringkat Gangsa itu julung kali diadakan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kejohanan itu membabitkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita yang menawarkan hadiah kemenangan termasuk wang tunai berjumlah RM500,000.

"Kejohanan ini adalah pentas penting bagi pemain tempatan dan serantau untuk mendekatkan jurang antara pemain profesional muda yang mencari pendedahan di peringkat antarabangsa.

"Kejohanan 12 Skuasy Satelit PSA WSF menjadi asas kami dan kini ACE Malaysia 2023 menandakan langkah seterusnya dalam membawa acara bertaraf dunia ke landskap sukan Malaysia.

"Justeru, kami yakin dengan penampilan ramai pemain ternama hadir, kejohanan ini bukan sahaja bakal menyaksikan pertembungan menarik, malah diharap mampu meletakkan skuasy Malaysia bergerak ke hadapan di persada global," katanya selepas majlis pelancaran yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, semalam.

Chandaran berkata, penyertaan pemain skuasy dalam pelbagai jelajah membolehkan mereka mengumpul mata kedudukan antarabangsa, mendapat pendedahan dan meraih wang kemenangan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan klinik skuasy ditawarkan Akademi Faragallah Skuasy & Fitness (FSA) dari Mesir sepanjang tiga hari kejohanan itu.

Sementara itu, pemain skuasy berpengalaman negara, Low Wee Wern menzahirkan kegembiraannya kerana berpeluang beraksi bersama bakat muda.

"Saya menyambut baik kejohanan ini kerana dapat memberi peluang kepada pemain muda tempatan mempamerkan kehebatan mereka.

"Ini peluang mereka untuk menyinar bersama pemain yang menduduki ranking dunia terutama mereka yang beraksi dalam acara satelit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 3:06 PM