JIMMY (kanan) dan Aiman memenangi pingat emas beregu lelaki tenis Sukma 2022 di Kompleks Tenis, Jalan Duta. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
JIMMY (kanan) dan Aiman memenangi pingat emas beregu lelaki tenis Sukma 2022 di Kompleks Tenis, Jalan Duta. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengalaman sebagai 'tokey' akademi dan kedai barangan sukan di Bintulu, Sarawak boleh dikatakan banyak membantu pemain tenis Bumi Kenyalang Jimmy Liong memenangi emas dalam acara beregu lelaki.

Jimmy bersama pasangannya Muhammad Aiman Hamdan menghadiahkan emas buat Sarawak apabila menang 6-2, 6-4 ke atas wakil Selangor, Muhammad Nur Iman Mohd Noor Ariffin-Muhammad Syabil Md Shaharudin pada aksi yang berlangsung di Kompleks Tenis Jalan Duta pagi tadi.

Pingat gangsa pula dimenangi wakil Negeri Sembilan, Imran Daniel Abdul Hazli-Naufal Siddiq selepas mereka menewaskan pasangan dari Kuala Lumpur Izran Mohammed Farroukh-Muhammad Zhafree Siddiq Kamarul Zaman 6-2,6-2.

Menurut Jimmy yang berusia 20 tahun, kemenangan terbabit menebus kekecewaan pada penyertaan Sukma edisi 2018 apabila tewas di pentas final sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang perak.

"Segala usaha yang dilakukan selama ini ternyata berbaloi kerana berjaya membawa pulang emas walaupun mendapat diberi tentangan hebat oleh lawan.

"Saya membuka perniagaan akademi dan kedai barangan sukan sekali gus membantu dalam mempertingkatkan lagi kualiti permainan di Sukma 2022.

"Selepas ini, saya berharap dapat diberikan peluang untuk mewakili negara. Sementara menunggu penyertaan di kejohanan akan datang, saya akan memberi tumpuan kepada perniagaan," katanya.

Selain itu, ketika mengulas mengenai aksinya pada temasya Sukma kali ini, Jimmy berkata, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk melangkah ke akhir sebelum menggenggam emas buat Sarawak.

"Walaupun kami diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan namun sebenarnya saingan daripada beregu berstatus 'underdog' cukup hebat dan hampir juga tewas kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 3:38 PM