SITI perlukan tiga set sebelum tewaskan pemain WP.
SITI perlukan tiga set sebelum tewaskan pemain WP.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Wakil Kuala Lumpur Leong Jun Hao memastikan status sebagai pemain badminton perseorangan lelaki negara tidak tercalar apabila mahu menggenggam pingat emas apabila beraksi pada pentas final Sukan Malaysia (Sukma) 2022 esok.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Jun Hao mara ke final menerusi kemenangan ke atas rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Kok Jing Hong yang mewakili Kedah 16-21, 21-12, 21-12 pada aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Jun Hao, 22, berkata pada edisi 2018 di Perak, kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sandaran untuk dia menyumbang pingat tetapi dia gagal merealisasikannya apabila terkandas di suku akhir.

"Jadi, kali ini saya harap boleh bantu Wilayah Persekutuan untuk meraih emas. Saya percaya setiap pemain mempunyai peluang untuk menang, siapa yang menampilkan prestasi terbaik ada peluang lebih tinggi untuk menang.

"Pada 2018 selepas acara berpasukan, tubuh badan saya agak tidak selesa dan membuatkan saya hilang tumpuan dan tidak boleh beraksi dengan baik dalam acara perseorangan sekali gus kalah di suku akhir.

"Kali ini, saya cuba buat persiapan terbaik untuk menghadapi aksi final esok dan berharap dapat keputusan yang terbaik," katanya.

Jun Hao yang juga juara remaja Asia 2017 itu akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan pertama yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Ng Tze Yong dengan wakil Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin di pentas final, esok.

Sementara itu, perseorangan muda wanita negara dari Selangor, Siti Nurshuhaini Azman mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan Amanda Yap dari Wilayah Persekutuan 15-21, 21-11, 21-13 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Dia akan berdepan pemenang perlawanan antara rakan senegeri, K Letshanaa dengan Tan Zhing Yi dari Pulau Pinang bagi memburu kilauan emas esok.

Saingan beregu campuran pula menyaksikan pasangan Melaka, Tee Kai Wun-Toh Ee Wei akan menentang beregu Kelantan, Muhammad Haikal Nazri-Chan Wen Tse dalam aksi final, esok.

Kai Wun-Ee Wei mara ke final selepas menang ke atas Owen Ting Shih Wee-Wong Ling Ching dari Sarawak 21-13, 21-7 manakala Haikal-Wen Tse menundukkan Tan Kok Xian-Yap Ling dari Melaka 21-17, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:14 PM