MING Hock (kanan) dan Amir Amirul memenangi emas acara skuasy beregu lelaki selepas menewaskan pasukan Kedah. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MING Hock (kanan) dan Amir Amirul memenangi emas acara skuasy beregu lelaki selepas menewaskan pasukan Kedah. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Gandingan pemain Kelantan Wee Ming Hock-Muhammad Amir Amirul Azhar berjaya merealisasikan kisah dongeng menjadi kenyataan apabila menamatkan penantian 32 tahun Kelantan memenangi emas pertama buat negeri itu dalam skuasy selepas mengungguli saingan beregu lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Hal ini kerana, sejak skuasy diperkenalkan di Sukma pada 1990, Kelantan tidak pernah memenangi emas walaupun menghantar wakil untuk beraksi dalam sukan berkenaan.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil itu, Ming Hock-Muhammad Amir bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan bersejarah ke atas pasangan Kedah, Ong Sai Hung- Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-9, 5-11, 11-9.

Kemenangan pasangan Kelantan itu menyaksikan mereka menebus kekecewaan selepas gagal meraih pingat pada edisi terakhir di Perak, empat tahun lalu.

Ming Hock berkata, kejayaan itu ibarat mimpi menjadi kenyataan memandangkan lawannya di pentas akhir cukup hebat dan berpengalaman.

"Sebenarnya saya tak jangka untuk menang emas dalam acara beregu ini kerana lawan saya juga boleh dikatakan hebat dan mempunyai ranking yang lebih baik.

"Kami mula bergandingan sejak dua tahun lalu dan melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi temasya kali ini. Ini adalah detik yang kami tunggu selama ini.

"Saya sangat gembira kerana menyumbang emas pertama Kelantan di Sukma. Malah, ini juga boleh dikatakan sebagai pengubat duka kami kerana pada edisi sebelum ini gagal meraih sebarang pingat," katanya.

Pingat gangsa dalam acara itu dimenangi gandingan Negeri sembilan, Darren Pragasam-Sanjay Jeeva yang menewaskan rakan senegeri Ameeshenraj Chandaran- Shamiel Haeyzad Sharulhisam menerusi kemenangan straight set 11-10, ,11-9.

Ming Hock berharap kejayaan memenangi emas kali ini dapat membuka peluang buat mereka untuk menggalas cabaran negara dalam acara beregu di kejohanan utama yang mempertandingkan acara berkenaan terutamanya di Sukan Komanwel.

"Kejayaan ini diharap dapat membuka mata SRAM (Persatuan Raket Skuasy Malaysia) untuk memberi kami peluang beraksi dalam acara beregu di kejohanan yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 3:32 PM