AZEEM kali kedua berlari di Sukma dan ketika di Perak dia menduduki tempat kelapan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AZEEM kali kedua berlari di Sukma dan ketika di Perak dia menduduki tempat kelapan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Satu ketika dia pernah berada di tempat terakhir pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak namun pelari pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi kembali untuk mengambil 'haknya' untuk raja pecut temasya dwi tahunan edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Pemegang rekod kebangsaan itu mengakui dia kembali ke Kuala Lumpur dengan misi untuk 'menuntut' semula haknya yang 'tercicir' pada edisi 2018 dan usahanya berhasil dengan pingat emas yang dimenangi pada final 100 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Jelasnya, pingat emas 100m itu sudah cukup memuaskan dirinya kerana sasaran utamanya adalah untuk menyumbangkan pingat buat Perak dan catatan masa langsung tidak berada dalam fikirannya.

"Saya tidak sasarkan untuk berlari bawah 10 saat atau sebagainya kerana lebih baik adalah saya dapat mengekalkan prestasi catatan di bawah 10.30 saat (s).

"Catatan di separuh akhir dan final cukup membuatkan saya berpuas hati. Tiada tekanan di final kerana saya berlari untuk diri saya sendiri.

"Ini kali kedua saya berlari di Sukma dan ketika di Perak, saya nombor lapan, terakhir sekali dan saya kembali kali ini untuk mendapatkan semula apa yang sepatutnya jadi hak saya iaitu pingat emas," katanya.

Terdahulu, gelaran Raja Pecut Sukma 2022 menjadi milik Muhammad Azeem selepas atlet dari Perak itu mengungguli final 100m di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemegang rekod kebangsaan itu berada dalam kelas tersendiri apabila yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 10.25s.

Pingat perak menjadi milik atlet Johor, Muhammad Arsyad Md Saat (10.46s) dan pingat gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi (10.50s).

Sebagai rekod, rekod temasya dilakar oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s yang dilakukan pada Sukma 2016 di Sarawak Rekod kebangsaan yang dipegang Azeem pula dilakukan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 dengan catatan 10.09s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 8:03 PM