ANJA Samia (kiri), Sara Alisha dan Uma Annikka mengusai acara tenis wanita Sukma 2022. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANJA Samia (kiri), Sara Alisha dan Uma Annikka mengusai acara tenis wanita Sukma 2022. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sejak kecil meminati sukan tenis mendorong tiga beradik menjadikan pentas Sukan Malaysia (Sukan Malaysia) edisi 2022 sebagai medan pertarungan untuk membuktikan siapa antara mereka lebih hebat.

Tiga beradik berkenaan Anja Samia Nayar,17, Sara Alisha Nayar,21, dan Uma Annikka Nayar berusia 22 tahun menguasai pentas final dengan masing-masing membawa pulang pingat untuk Terengganu pada perlawanan yang berlangsung Kompleks Tenis Jalan Duta.

Malah, pada aksi final kategori perseorangan wanita membabitkan Anja Samia dan Sara Alisha dengan menyaksikan 'kakak' berjaya memenangi perlawanan menerusi 6-1, 7-4 sekali gus membawa pulang emas.

Sara Alisha berkata, walaupun gembira penyertaan kali kedua di temasya dwi tahunan berjaya membawa pulang emas namun tetap ada perasaan sedih apabila lawan yang ditewaskan di pentas final adalah adiknya sendiri.

"Kami memang meminati tenis sejak kecil lagi dan apabila mengetahui masing-masing beraksi di Sukma kali ini sekali gus memasang impian mahu membawa pulang pingat untuk Terengganu.

"Gembira ada namun pada masa tetap bersedih kerana perlu menewaskan adik sendiri untuk memenangi emas.

"Sejujurnya menentang adik sendiri lebih sukar daripada bertemu lawan lain kerana mungkin kami berlatih sama dan mengetahui corak permainan masing-masing," katanya, yang juga bekas bekas pemain kebangsaan.

Pada aksi membabitkan kategori wanita itu juga menyaksikan Anja Samia membawa pulang perak manakala Shihomi Leong mewakili Perak memperoleh gangsa.

Selain itu, Uma Annika pula akan beraksi di pentas final pada petang ini bagi acara beregu wanita berpasangan dengan Liza Nuralyaa Natasya Mohammad Fazli namun lawannya bukanlah 'biasa-biasa' kerana akan bertemu dengan adiknya sendiri iaitu Anja Samia dan Sara Alisha.

Sementara itu, penentuan pingat emas kategori perseorangan lelaki pula menyaksikan wakil Perak Mitsuki Leong berjaya menumpaskan wakil Selangor Darrshan Suresh 6-0 dan 7-5 manakala gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan Naufal Siddiq Kamaruzzaman 6-0,6-1.

Dalam acara beregu lelaki, Jimmy Liong-Muhammad Aiman Hamdan menghadiahkan emas buat Sarawak apabila menang 6-2, 6-4 ke atas wakil Selangor, Muhammad Nur Iman Mohd. Noor Ariffin-Muhammad Syabil Md Shaharudin sementara gangsa dimenangi wakil Negeri Sembilan, Imran Daniel Abdul Hazli-Naufal Siddiq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 1:04 PM