AIFA (kiri) dan Aira meraih emas dalam acara skuasy beregu wanita Sukma 2022. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AIFA (kiri) dan Aira meraih emas dalam acara skuasy beregu wanita Sukma 2022. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita kebangsaan, Aifa Azman tidak mahu mengambil risiko apabila sekali gus terpaksa menarik diri daripada acara perseorangan di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Hal ini kerana, Aifa melihat kemenangan dalam acara beregu bersama adiknya, Aira Azman sudah mencukupi dan mahu fokus kepada memulihkan kembali kecederaan bagi mengharungi kejohanan lain kelak.

Aifa, 20, berkata keputusannya untuk tidak mempertahankan gelaran juara diraihnya dalam acara perseorangan empat tahun lalu adalah disebabkan tidak mahu mengambil risiko kerana masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan ibu jari yang dialaminya ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham, Julai lalu.

Katanya, pengorbanan menarik diri dari acara perseorangan wanita dianggap berbaloi malah gembira kerana beraya memenangi acara beregu wanita bersama adiknya Aira.

"Saya tidak menyesal tarik diri daripada bermain dalam acara perseorangan kerana saya berjaya mendapat emas bersama adik saya dalam acara beregu.

"Walaupun kami baru berlatih minggu lepas, namun keserasian kami boleh dikatakan baik dan itu menjadi kejayaan kami pada temasya kali ini," kata Aifa yang sudah memenangi tiga emas keseluruhan sepanjang beraksi di temasya Sukma.

Sebagai rekod, Aifa muncul juara dalam acara perseorangan pada edisi 2018 di Perak selain turut membantu Kedah memenangi emas berpasukan.

Terdahulu, Aifa bersama adiknya yang mewakili Kedah menepati ramalan apabila menundukkan gandingan Sabah, Lai Wen Li-Yee Xin Ying menerusi kemenangan straight set 11-10, 11-9 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 3:24 PM