PASUKAN hoki lelaki dan wanita Pahang meraikan kejayaan bersama pingat emas mereka selepas menewaskan lawan masing-masing. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PASUKAN hoki lelaki dan wanita Pahang meraikan kejayaan bersama pingat emas mereka selepas menewaskan lawan masing-masing. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Siapa sangka kejayaan skuad hoki lelaki dan wanita Pahang merangkul emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 sebenarnya adalah hasil air tangan adik-beradik yang sudah bertungkus lumus sejak 10 tahun lalu menabur bakti memastikan pasukan Tok Gajah merangkul kejuaraan.

Kini usaha adik-beradik iaitu jurulatih pasukan lelaki, Mohd Sufian Mohamed dan adiknya, Mohd Sobri Mohamed yang memimpin skuad wanita akhirnya terbalas apabila membawa pulang emas buat Pahang.

Mohd Sufian berkata, kejayaan menyapu bersih emas dalam acara hoki adalah hadiah istimewa buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah kerana mengilhamkan untuk menubuhkan akademi hoki Pahang dalam usaha memastikan pasukan Tok Gajah menjadi kuasa besar sukan terbabit.

"Alhamdulillah, ini adalah hadiah kepada Yang di-Pertuan Agong kerana inspirasi untuk menubuhkan akademi hoki Pahang dengan menyasarkan menyapu bersih semua kejuaraan di setiap peringkat umur termasuklah emas Sukma.

"Kejayaan merangkul semua emas hoki di pentas Sukma adalah pencapaian terbaik dalam sejarah hoki kerana kita sudah menunggu puluhan tahun untuk membawa pulang pingat terbabit.

"Rata-rata pemain saya 'jaga' mereka sejak daripada tingkatan satu sekali gus sudah serasi dan mampu memberi persembahan terbaik di Sukma," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Terdahulu, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan Pahang menyapu bersih emas hoki lelaki dan wanita Sukma 2022.

Pada perlawanan penentuan pingat emas lelaki menyaksikan jaringan tunggal Muhammad Idris Samad di penghujung perlawanan meranapkan impian Johor bergelar juara menerusi kemenangan 1-0.

Selain itu, pingat gangsa pula menjadi Perak selepas pasukan terbabit menewaskan Terengganu 7-4.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian 26 tahun emas buat Pahang apabila kali terakhir memenangi pada edisi 1996 iaitu ketika kontinjen Tok Gajah menjadi tuan rumah.

Pada Sukma edisi 2018, Pahang terpaksa berpuas dengan pingat perak selepas tewas kepada Sabah menerusi penentuan penalti shoot-out 3-2 selepas terikat 1-1.

Sementara itu, skuad hoki wanita Pahang pula menamatkan penantian panjang selama 14 tahun untuk kembali dinobatkan sebagai juara Sukma pada edisi 2022 kali ini.

Pingat emas itu diraih selepas Pahang mencatat kemenangan sensasi 2-1 ke atas juara bertahan, Selangor.

Kali terakhir Pahang memenangi pingat emas acara hoki wanita di pentas Sukma adalah sewaktu edisi 2008 di Terengganu.

Tempat ketiga pula milik Kuala Lumpur selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam penentuan pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 12:04 PM