EE Wei (kiri) ketika beraksi bersama Yap Ling dalam final beregu wanita Sukma 2022. FOTO AIZUDDIN SAAD
EE Wei (kiri) ketika beraksi bersama Yap Ling dalam final beregu wanita Sukma 2022. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain badminton kebangsaan, Toh Ee Wei bukan individu 'biasa-biasa' apabila menghadiahkan dua emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dalam acara beregu wanita dan campuran sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakarnya empat tahun lalu di Ipoh, Perak.

Jelas sekali pemain yang mewakili Melaka itu membuktikan dia mempunyai sentuhan apabila dia dan pasangan, Yap Ling muncul juara saingan beregu wanita selepas mengetepikan cabaran gandingan Kedah, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin 21-12, 25-27, 21-16 dalam final di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Gangsa acara itu diraih pasangan Wilayah Persekutuan, Tang Wen Xin-Wong Kha Yan yang menewaskan R Kasturi-R Venosha dari Selangor 21-10, 17-21, 21-16 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Terdahulu, Ee Wei turut cemerlang apabila menjuarai acara beregu campuran bersama pasangannya, Tee Kai Wun menerusi kemenangan ke atas Muhammad Haikal Nazri-Chan Wen Tse dari Kelantan 21-16, 21-13.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan pada Sukma kali ini. Dari awal lagi fokus adalah untuk membantu Melaka memenangi pingat.

"Karakter saya memang sebagai seorang pejuang, saya akan berjuang habis-habisan dan buat yang terbaik untuk mencipta kemenangan.

"Saya mengharungi perjalanan yang panjang dalam kerjaya badminton saya. Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang kembali memberi peluang untuk saya mewakili skuad negara," kata Ee Wei yang pernah meninggalkan BAM akibat masalah kesihatan sebelum ini.

Pada edisi 2018 di Perak, Ee Wei turut meraih dua emas menerusi acara beregu campuran bersama Aaron Chia dan beregu wanita berpasangan dengan Anna Cheong.

Sementara itu, Kai Wun mengikut jejak langkah Ee Wei apabila turut memenangi dua emas selepas mengungguli saingan beregu lelaki bersama gandingannya, Tan Kok Xian.

Pasangan Melaka itu menundukkan beregu Johor, Lwi Sheng Hao-Yap Roy King 21-16, 21-17 dalam aksi final.

Gangsa menjadi milik pasangan Selangor, Muhammad Nuraidil Adha Azman-Muhammad Nurfirdaus Azman yang menewaskan Chia Jeng Hon-Choi Jian Sheng dari Pahang 21-19, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 3:58 PM