CHONG Xian Hao.
CHONG Xian Hao.
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

Gold Coast: Atlet triatlon negara, Chong Xian Hao terpaksa mendapatkan kebenaran daripada gurunya terlebih dulu sebelum menyertai Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Atlet berusia 17 tahun itu yang muncul pencabar termuda bagi acara triatlon lelaki di Southport Broadwater Parklands hari ini, diberikan cuti untuk merealisasikan impiannya.

“Jika saya beraksi dengan baik dan layak ke Sukan Olimpik Remaja, sudah pasti ia menjadi waktu persekolahan yang sukar buat saya.

“Apa pun, ini adalah peluang untuk mencabar atlet terbaik dari seluruh dunia.”

Xian Hao layak ke Sukan Komanwel selepas memenangi Kejohanan Kebangsaan, November lalu.

“Saya teruja namun pada masa sama tetap gemuruh. Saya hanya mahu lakukan yang terbaik untuk membanggakan kontinjen negara.

“Saya gembira jika terpaksa berhempas-pulas dalam pertandingan. Saya bergelut ketika berenang kerana saya tidak begitu mahir dengannya.”

Triatlon Sukan Komanwel hanya menampilkan acara pecut (renang 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian 5km) dengan atlet yang dipintas pendahulu akan serta-merta disingkirkan.

Serena Yang, 26, akan beraksi dalam kategori wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 9:12 AM