DATUK Shahrul Zaman Yahya. FOTO Bernama
DATUK Shahrul Zaman Yahya. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tampil tanpa sebarang sasaran pingat di Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai ini bukanlah masalah besar buat kem olahraga negara melakar kejutan di temasya empat tahun sekali itu.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, walaupun atlet olahraga negara bakal dicabar lawan yang lebih hebat namun tetap mahu membawa pulang 'sesuatu' termasuklah memperbaharui catatan peribadi masing-masing.

Beliau berkata, ketika ini persiapan barisan atlet negara berada dalam keadaan baik dengan masing-masing berusaha memperbaiki kelemahan sebelum tampil di temasya terbabit.

"Persiapan pasukan olahraga berjalan dengan baik. Kita juga turut memantau empat daripada tujuh atlet yang berpangkalan di luar negara .

"Melihat kepada situasi sekarang ini, atlet kita bersaing dengan negara kuasa besar dalam sukan olahraga sekali gus perlu berpijak pada bumi yang nyata jika menyebut mengenai sasaran.

"Apa yang harus dilakukan adalah mereka perlu buat yang terbaik supaya dapat capai keputusan positif iaitu sekurang-kurangnya perbaiki catatan peribadi," katanya ketika ditemui selepas melawat kem olahraga negara di Majlis Sukan Negara(MSN), hari ini.

Mengikut rekod, kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham mempertaruhkan tujuh atlet olahraga yang terdiri daripada Nauraj Singh(lompat tinggi), Andre Anura(lompat kijang), Irfan Shamsuddin(lempar cakera) Grace Wong(tukul besi), Russel Alexander Nasir Taib (200 meter) Shereen Samson Vallabouy (400 meter) dan Jackie Wong(tukul besi).

Empat daripada atlet berkenaan iaitu Nauraj, Andre,Irfan dan Grace diletakkan dalam sasaran untuk melangkah ke pusingan akhir berdasarkan kepada prestasi terkini mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 8:53 PM