ATLET wushu ketika sidang media di MSN, Bukit Jalil. FOTO Amirul Johari
ATLET wushu ketika sidang media di MSN, Bukit Jalil. FOTO Amirul Johari
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad wushu negara diyakini tidak akan menghampakan kontinjen negara pada temasya Sukan Sea Hanoi meskipun kali ini 'tidak berani' meletakkan pingat emas sebagai sasaran utama mereka.

Pengurus pasukan skuad wushu ke Sukan Sea Hanoi, Chong Fok Yan berkata, beberapa faktor mendorong kepada keputusan itu termasuklah yang paling utama apabila skuad kali ini dibarisi seramai 80 peratus muka baharu.

Namun katanya, rekod lalu membuktikan skuad wushu tidak pernah pulang hampa, sebaliknya konsisten menyumbang pingat dan untuk permulaan di Hanoi, hanya dua pingat disasarkan. "Memang kali ini kami tidak meletakkan sasaran emas tetapi yakin atlet negara berpotensi untuk membawa dua pingat (tiga mengira warna). Sebenarnya atlet kita bukanlah lemah, cuma kali ini kami membariskan 80 peratus muka baharu," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya lagi, beberapa faktor lain termasuk kegagalan menyertai mana-mana pertandingan sejak hampir tiga tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 selain terdapat atlet yang bersara, menyebabkan skuad negara tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi.

"Biasanya apabila atlet kita tidak buat kesilapan ketika berlangsungnya pertandingan, saya yakin mereka boleh memberikan bonus (emas)," katanya.

Sementara itu, jurulatih, Loh Choon How berkata, meskipun skuad wushu kali ini dibarisi atlet baharu, beliau percaya mereka mampu membuktikan sesuatu.

"Saya boleh katakan rata-rata yang mewakili negara adalah kali pertama beraksi di Sukan Sea," katanya.

Tiga tahun lalu di Filipina, skuad wushu negara menyumbang dua emas serta masing-masing satu perak dan gangsa untuk muncul pasukan keempat terbanyak meraih pingat dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 2:30 PM