HANNAH (tengah) ketika larian obor temasya Sukan Sea Kemboja di Menara KBS, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
HANNAH (tengah) ketika larian obor temasya Sukan Sea Kemboja di Menara KBS, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Sasaran pingat untuk kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja akan diumumkan pada 30 April ini iaitu ketika majlis penyerahan bendera disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sebelum itu, satu bengkel penetapan sasaran akan berlangsung Khamis ini bersama-sama wakil persatuan sukan, ketua jurulatih, pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menilai prestasi semasa atlet sebelum menetapkan sasaran akhir.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, untuk meletakkan sasaran kepada kontinjen negara tidak mudah kerana ia perlu dinilai daripada pelbagai aspek terutama apabila tuan rumah mempertandingkan banyak sukan tradisi.

"Kalau kita lihat di Kemboja kali ini, ada 18 jenis sukan tradisi dipertandingkan dan kita tiada kekuatan atau tidak pernah menyertainya. Jadi, memang sukar untuk kita menilai prestasi atlet kita.

"Pada masa sama, ada sukan tertentu yang tidak dipertandingkan di Kemboja, tetapi dipertandingkan di Vietnam (tahun lalu). Jadi, ini akan mengurangkan sasaran pingat kita, tetapi kita yakin sukan lain yang biasa dianjurkan di Sukan Sea dan dipertandingkan di Kemboja akan pamer prestasi terbaik.

"Perkara ini semua kita kena ambil berat, penetapan sasaran bukan perkara ringan. Kita perlu menilai dari semua aspek sebelum menetapkan sasaran," katanya ketika ditemui selepas larian obor Sukan Sea Kemboja di perkarangan Menara Kementerian Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Pada Sukan Sea Hanoi, Mei tahun lalu, kontinjen negara melepasi sasaran 36 pingat emas apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Sukan terjun menjadi penyumbang terbanyak emas kontinjen negara apabila memenangi lapan emas diikuti olahraga lima emas manakala karate dan gimnastik masing-masing membawa pulang empat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 5:28 PM