KETUA jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah mengenalpasti atlet dan acara mampu memenuhi sasaran 10 pingat emas di Sukan Sea Kemboja, Mei tahun depan, seperti disasarkan presiden badan induk itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, gerak kerja untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai sudah bermula sebaik sasaran itu diumumkan dan kini barisan atlet berada pada fasa terakhir persiapan.

"Kami sudah mengenalpasti atlet yang dijangkakan dapat memenangi pingat emas. Antara mereka adalah Irfan Shamsuddin, Andre Anura (Anuar) dan Nor Sarah Adi serta beberapa atlet lain.

"Tumpuan lebih diberikan kepada acara trek sebab semasa di Sukan Sea Hanoi, Mei lalu, mereka tidak dapat menyumbang pingat emas.

"Tapi kali ini kami dapat rasakan acara jarak jauh dan sederhana boleh menyumbang pingat emas untuk negara," katanya.

Tegas Manshahar, barisan atlet dan jurulatih tetap berpegang teguh untuk memenuhi sasaran 10 emas itu meskipun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.

Beliau berkata, sasaran itu ditetapkan dan pihak kejurulatihan sedia menyahut cabaran itu serta tidak akan berganjak.

Sebagai rekod, lapan pingat emas adalah jumlah terbanyak berjaya dituai skuad olahraga negara dalam 10 penganjuran terakhir Sukan Sea dan ia dicapai pada 2003, 2005 dan 2017.

Manakala dalam dua edisi terakhir iaitu pada 2019 dan 2022, sebanyak lima emas dibawa pulang.

Lima emas dikutip skuad olahraga negara di Hanoi disumbangkan atlet baling tukul besi lelaki, Jackie Wong, Andre Anura (lompat kijang lelaki), Irfan (lempar cakera lelaki), Grace Wong (baling tukul besi wanita) dan Nor Sarah dalam acara lompat bergalah wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:37 PM