BARISAN skuad wushu negara. FOTO Zulkarnain Azman
BARISAN skuad wushu negara. FOTO Zulkarnain Azman
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) menyasarkan satu pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja yang akan membuka tirainya Mei ini.

Meskipun sasaran itu kurang dari apa yang diraih skuad negara di temasya Sukan Sea Hanoi, sasaran dianggap realistik berdasarkan format baharu pertandingan yang lebih mencabar.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, satu pingat emas yang disasarkan skuad negara menerusi acara taolu.

"Pada temasya Sukan Sea Phnom Penh, 14 pingat emas ditawarkan menerusi acara Taolu manakala enam dalam Sanda. Peluang kita lebih cerah dalam Taolu memandangkan atlet kita tidak mempunyai latihan Sanda sepanjang pandemik Covid-19.

"Jadi kita lebih yakin kerana semasa Covid-19 atlet ini menjalankan latihan secara sendiri dan berhubung dengan jurulatih.

"Kita juga ada atlet berusia 31 tahun Wong Wen Son yang juga juara dunia dan mampu memberikan cabaran di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita pada sesi pemilihan atlet negara ke temasya dwitahunan itu hari ini.

Tambah beliau lagi, selain itu pihaknya turut menyasarkan satu perak dan satu gangsa menerusi acara yang sama menerusi gandingan atlet baru dan berpengalaman.

Untuk rekod, pada edisi lalu, skuad negara berjaya meraih dua emas satu perak dan duabgangsa masing dari acara Taolu lelaki dan wanita.

Dalam perkembangan lain, Kim Fatt turut memberitahu pihaknya kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar negara dari China untuk mengendalikan program podium sukan wushu.

Jelasnya, proses pemilihan jurulatih itu kini sedang dijalankan dan dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 3:00 PM