SHU Shu Wai (kiri) bersama Kok Seng (tengah) dan gimnas, Rachel Yeoh Li Wen ada sidang media, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SHU Shu Wai (kiri) bersama Kok Seng (tengah) dan gimnas, Rachel Yeoh Li Wen ada sidang media, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jika ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak mengumumkan persaraan, skuad gimnastik artistik wanita negara tetap sukar memperoleh deretan pingat terutama emas pada Sukan Sea Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei depan.

Demikian kesukaran digambarkan jurulatih gimnastik artistik wanita, Ng Shu Wai mengenai cabaran skuad itu di Hanoi berikutan keputusan Filipina menyenaraikan empat atlet 'naturalisasi' Amerika Syarikat (AS) untuk mewakili negara itu.

Menurutnya, ketiadaan Farah yang memenangi tiga daripada empat emas untuk gimnastik artistik wanita ketika di Filipina sememangnya cukup dirasai kem negara, lebih-lebih lagi untuk menghadapi cabaran pada Sukan Sea kali ini yang pada anggapannya paling sukar.

"Apabila Farah sudah bersara, ia sememangnya memberi kesan kepada pasukan. Tiga tahun lalu kita memperoleh emas menerusi Farah dan Tracie Ang, tetapi sekarang kedua-duanya sudah bersara dan kini kami membariskan ramai atlet baharu.

"Sudah tentu kami mensasarkan untuk memenangi pingat, tetapi cabaran kali ini agak sukar apabila Filipina membariskan empat atlet AS.

"Saya boleh katakan jika kali ini Farah ada sekali pun, agak sukar untuk menang sebab Filipina membariskan pasukan yang kuat dan barisan atlet kita tidak pernah bertemu mereka.

"Apapun kami tetap akan terus berusaha untuk mencapai sasaran ditetapkan," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Berikutan beberapa faktor itu, pengurus pasukan, Foong Kok Seng berkata, pihaknya mensasarkan dua emas pada temasya di Hanoi iaitu satu untuk lelaki dan satu untuk wanita.

Tiga tahun lalu di Filipina, Farah menyumbang emas menerusi acara palang tak sejajar, senaman lantai dan all-around manakala Tracy mengungguli acara batang titian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 3:10 PM