Sha’Carri akan beraksi Liga Berlian Klasik Prefontaine bulan depan. FOTO Agensi
Sha’Carri akan beraksi Liga Berlian Klasik Prefontaine bulan depan. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Pelari pecut Amerika Syarikat (AS) yang sedang menjalani penggantungan akibat positif dadah Sha'Carri Richardson akan kembali beraksi di kejohanan elit bulan depan dengan menyertai Liga Berlian Klasik Prefontaine.

Sha'Carri yang tidak dibenarkan beraksi di Olimpik awal bulan lalu selepas diuji positif menggunakan ganja ketika Kejohanan Ujian kelayakan AS akan beraksi dalam kedua-dua acara, 100 dan 200m pada kejohanan yang akan berlangsung pada 20 dan 21 Ogos ini di Eugene, Oregon.

"Saya tidak sabar untuk berlari lebih pantas di kejohanan itu," kata Sha'Carri.

Sha'Carri sebelum ini dikatakan berpotensi untuk meraih emas dalam acara 100m di Olimpik selepas mempamerkan prestasi cemerlang sejak awal musim.

Bagaimanapun pelari berusia 21 tahun dari Texas yang memenangi acara 100m di kejohanan ujian AS digantung kerana diuji positif ganja.

Dia digantung sebulan dan keputusannya ketika kejohanan ujian dan penyertaannya ke Olimpik di tarik semula dan minggu lalu namanya turut digugurkan daripada cara berganti-ganti skuad AS.

Susulan keputusan positif itu, Sha'Carri memberitahu dia menggunakan dadah berkenaan selepas berdepan kemurungan kerana kematian ibunya kandungnya sejurus sebelum menyertai ujian pemilihan Olimpik AS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 1:27 PM