KAMILA dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk. FOTO AFP
KAMILA dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Sha'Carri Richardson membidas keputusan membenarkan Kamila Valieva meneruskan aksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk walaupun diuji positif menggunakan dadah terlarang.

Ia jelas berbeza dengan kes penggantungan dirinya di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu akibat kegagalan ujian doping.

Sha'Carri dilarang beraksi di Olimpik Tokyo selepas didapati positif ganja semasa sesi ujian trek dan padang AS di Eugene, di mana dia memenangi acara pecut 100 meter.

Atlet berusia 21 tahun itu kemudian digantung selama 30 hari sekali gus menyaksikan tidak dapat beraksi di Jepun di mana dia pada awalnya disasarkan untuk memenangi pingat.

Bintang luncur ais Rusia, Kamila dibenarkan meneruskan aksinya di Olimpik Beijing di sebalik diuji positif menggunakan dadah terlarang.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkata, terdapat 'pengecualian luarbiasa' untuk atlet berusia 15 tahun itu termasuk usianya.

"Bolehkah kami mendapatkan jawapan yang kukuh perbezaan situasinya dengan saya?

"Ibu saya meninggal dunia dan saya tidak boleh berlari. Saya juga atlet pilihan untuk menduduki tiga terbaik.

"Perbezaan saya dengannya adalah saya seorang wanita berkulit hitam," katanya di Twitter.

Sha'Carri mengaku mengambil ganja sebaik didapati positif tahun lalu apabila berkata dia mengambil bahan terlarang itu selepas kematian ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 11:26 AM