SHA'CARRI muncul juara 100m di Kejohanan Ujian AS. -FOTO AFP
SHA'CARRI muncul juara 100m di Kejohanan Ujian AS. -FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Juara dunia 100 meter (m), Sha'Carri Richardson, berpeluang untuk menebus kehampaan di Olimpik selepas memenangi perlumbaan dalam acara riben biru itu di Kejohanan Ujian Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengesahkan tempatnya ke Paris Julai ini.

Tiga tahun selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang iaitu ganja yang menyaksikan dia disingkirkan dari pasukan AS ke temasya Olimpik Tokyo, Sha'Carri merangkul kemenangan dengan catatan masa 10.71 saat (s) menewaskan Melissa Jefferson kedua 10.80s dan Twanisha Terry ketiga,10.89s.

Sha'Carri mula mendahului di pertengahan perlumbaan, melepasi garisan penamat dengan merekodkan catatan masa terbaik dunia dengan kelajuan angin 0.8m/s di Hayward Field di Eugene, Oregon.

"Saya berasa bangga. Setiap apa yang saya lalui dalam hidup ini membentuk dan menjadikan saya seperti sekarang ini.

"Saya tidak sabar untuk pergi ke Paris dan beraksi bersama pasukan AS," katanya.

Sha'Carri berharap dapat merangkul emas Olimpik dalam acara 100m yang akan berlangsung di Stade de France pada 3 Ogos.

Kali terakhir pelari wanita AS meraih emas di Olimpik dalam acara 100m adalah menerusi Gail Devers pada 1996.

Sementara itu juara dunia 100m lelaki, Noah Lyles memulakan usahanya untuk merangkul emas Olimpik dalam acara itu apabila mencatatkan masa terpantas di separuh akhir, 9.92s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 12:39 PM