SHA’CARRI tidak terpilih untuk memperkuatkan kuartet AS walaupun acara berkenaan akan bermula sebaik penggantungannya berakhir. FOTO Agensi
SHA’CARRI tidak terpilih untuk memperkuatkan kuartet AS walaupun acara berkenaan akan bermula sebaik penggantungannya berakhir. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Sha'Carri Richardson tidak akan beraksi di Olimpik selepas diketepikan dalam skuad lari berganti-ganti 4x100 meter (m) Amerika Syarikat (AS) dan perkara itu disahkan Persekutuan Padang dan Balapan AS (USATF).

Sha'Carri diketepikan untuk bertanding dalam acara 100m wanita di Tokyo selepas menerima penggantungan sebanyak 30 hari apabila didapati positif marijuana ketika mencatat kemenangan di kejohanan ujian AS bulan lalu.

Bagaimanapun, dia masih boleh beraksi di temasya berkenaan dalam acara lari berganti-ganti, apabila penggantungannya akan berakhir sebelum pusingan pertama.

Peraturan USATF membolehkan pelari berusia 21 tahun itu dipilih sebagai salah satu daripada dua pilihan jurulatih di samping empat pemenang teratas final 100m wanita di kejohanan ujian AS.

Bagaimanapun, pintu tertutup buatnya selepas pemenang pingat emas 4x100 lari berganti-ganti di Olimpik 2016, English Gardner dan Aleia Hobbs dipilih untuk melengkapkan enam pelari bagi acara berkenaan.

Dalam kenyataan, USATF menyatakan simpati terhadap kes Sha'Carri tetapi mengatakan ia mempunyai tanggungjawab untuk 'menjaga keadilan' untuk semua atlet.

"Pertama sekali kami sangat bersimpati terhadap Sha'Carri Richardson dan akan memberikan sokongan berterusan kepadanya di dalam dan di luar trek," kata USATF.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 1:02 PM