SHA’CARRI mahu melupakan episod hitam dalam kisah hidupnya. -FOTO Agensi
SHA’CARRI mahu melupakan episod hitam dalam kisah hidupnya. -FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Pelari pecut Amerika Syarikat, Sha'Carri Richardson berkata dia mahu menebus kembali masanya yang hilang dan melupakan apa yang pernah berlaku dua tahun lalu.

Pelari berusia 23 tahun itu menjadi tumpuan utama pada Grand Prix Los Angeles hujung minggu ini dalam perlumbaan yang menjadi salah satu acara trek dan padang terbesar yang pernah diadakan di bandar itu.

Perlumbaan di UCLA Drake Stadium itu adalah perlumbaan seterusnya dalam kebangkitan mengagumkan Sha'Carri untuk tahun 2023 selepas menjadi pelari wanita terpantas dunia dalam acara 100 meter (m) tahun ini.

Dia mencatatkan 10.76 saat untuk mendahului senarai terbaik dunia ketika di Liga Berlian Doha pada 5 Mei turut mencatatkan 10.57 saat dengan bantuan angin di kejohanan Jemputan Miramar di Florida pada April.

Sha'Carri sebelum ini dilarang untuk beraksi di temasya Olimpik Tokyo yang ditangguhkan akibat pandemik Covid pada 2021 selepas didapati positif ganja.

"Saya melalui masa yang sukar dalam trek dan padang," kata Sha'Carri mengenai masalahnya baru-baru ini di dalam dan di luar trek.

"Banyak yang saya lalui. Saya perlu belajar banyak, saya perlu lebih banyak berkembang dan saya perlu matang.

"Saya hanya perlu faham bahawa tidak kira apa yang berlaku di luar, kepercayaan saya, sistem sokongan saya dan orang yang menyokong saya akan sentiasa memahami.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 8:49 AM