KEMENANGAN Sha'Carri dalam acara 100m ditarik selepas positif doping. FOTO Instagram
KEMENANGAN Sha'Carri dalam acara 100m ditarik selepas positif doping. FOTO Instagram
AFP

Los Angeles: Pelari pecut sensasi Amerika Syarikat, Sha'Carri Richardson diuji positif marijuana ketika kejohanan ujian Olimpik AS dan akan terlepas peluang beraksi di temasya Olimpik Tokyo.

The Times memetik dua lagi atlet yang tidak diumumkan namanya turut diuji positif yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar The Gleaner di Jamaica.

Ejen Sha'Carri , Renaldo Nehemiah, enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu.

Sha'Carri, 21, menjuarai acara 100m ketika kejohanan ujian AS itu berlangsung di Oregon bulan lalu, menempah tiket ke Tokyo apabila menjadi wanita keenam terpantas selepas merekodkan catatan 10.72s di Florida pada April.

Marijuana adalah salah satu bahan yang terdapat dalam senarai bahan terlarang Agensi Anti-Doping Dunia dan keputusan positif penggunaan dadah berkenaan boleh membawa hukuman penggantungan satu bulan hingga dua tahun.

Hasil ujian positif itu akan membatalkan kemenangannya pada kejohanan ujian berkenaan dan memberi peluang kepada atlet lain ke Tokyo biarpun Sha'Carri menerima hukuman minimum.

The Times turut melaporkan bahawa atlet yang beraksi dalam acara akhir 100m pada kejohanan ujian berkenaan sudah dimaklumkan peningkatan keputusan dalam senarai kedudukan.

Tiada sebarang maklum balas dilaporkan dari Sha'Carri, semalam, dengan atlet itu hanya menulis di dalam laman Twiter dengan memberi tahu kepada pengikutnya, 'saya manusia'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 1:26 PM