RoL
RoL
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini, hari ini mendedahkan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan walaupun sebanyak RM3.915 bilion sudah dibelanjakan.

Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dengan peningkatan kos kepada kerajaan.

"Pengauditan juga mendapati kesemua objektif RoL masih belum berjaya dicapai. Ini termasuk objektif RoL untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB yang sukar untuk dicapai kerana kelemahan dalam aspek perancangan, pelaksanaan projek, tahap operasi aset rendah serta tahap pematuhan dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah.

"Hasrat Kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah tertakluk kepada pemilik masing-masing," kata laporan itu.

Pengauditan terhadap Projek RoL dilaksanakan untuk menilai sama ada ia dilaksanakan dengan ekonomik, cekap dan berkesan di samping meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB, meningkatkan aktiviti ekonomi dan kualiti hidup rakyat, membangunkan tanah kerajaan di sekitar lokasi projek dan memberikan pulangan kepada kerajaan berjumlah RM4 bilion.

Pengauditan tertumpu kepada prestasi dan pengurusan projek di bawah komponen pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah dalam kawasan RoL.

Laporan itu mendapati sebanyak 159 kontrak kerja dan projek fizikal sudah dirancang untuk pelaksanaan RoL.

Berdasarkan Maklumat Ringkas Senarai Pakej Projek RoL oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan maklum balas agensi pelaksana, sehingga Julai 2023 sebanyak 145 projek dimulakan, 12 masih dalam peringkat pra pelaksanaan dan dua dibatalkan.

Analisis lanjut menunjukkan sebanyak 135 (84.9 peratus) daripada 159 projek sudah berjaya disiapkan, manakala lapan projek (lima peratus) dalam pelaksanaan, 12 (7.5 peratus) dalam pra pelaksanaan, dua (1.3 peratus) ditamatkan kontrak yang mana kontraktor penyiap belum dilantik dan dua (1.3 peratus) dibatalkan.

Sementara itu, analisis audit terhadap tempoh penyiapan bagi 135 projek setakat Julai 2023 mendapati 26 (19.3 peratus) projek sudah siap mengikut jadual dan 48 (35.5 peratus) projek siap dengan pelanjutan masa (EOT) antara 27 hingga 2,227 hari.

Bagaimanapun, pihak audit tidak dapat menganalisis baki 61 (45.2 peratus) projek yang siap kerana data projek yang lengkap seperti tarikh siap sebenar dan maklumat EOT tidak diselenggara oleh Delivery Management Office (DMO) di JWP atau agensi pelaksana.

nalisis audit juga mendapati kemajuan di tapak bagi lapan projek yang masih dalam pelaksanaan adalah antara 21 hingga 97.3 peratus.

Menurut laporan itu, analisis audit mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.

Selain itu, 'business model' yang tidak komprehensif menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan.

Kekurangan ini juga menyebabkan aset RoL tidak disenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengauditan juga menemui kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek.

Projek RoL merupakan satu projek di bawah Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan pada 2010, dengan kos siling berjumlah RM4.363 bilion bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi.

Kawasan RoL merangkumi 110 kilometer sepanjang Lembangan Sungai Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:01 PM