NORMAN dibenarkan keluar hospital dan menjalani kuarantin di rumah. FOTO AFP
NORMAN dibenarkan keluar hospital dan menjalani kuarantin di rumah. FOTO AFP
Agensi

Florida: Legenda golf Australia, Greg Norman dibenarkan pulang ke rumah selepas dikejarkan ke hospital di Florida dua hari lalu kerana mempunyai simptom Covid-19.

Norman yang berusia 65 tahun itu diuji negatif selepas beraksi dalam perlawanan pertunjukan di Kejohanan PNC di Orlando namun mula berasa kurang sihat dengan sakit sendit dan otot sebelum dimasukkan ke hospital.

"Saya berada di rumah sekarang selepas ditahan di wad kecemasan, apabila mengalami simptom yang saya baca sebelum ini ada kaitan dengan Covid.

"Saya sebelum ini diuji negatif oleh Jelajah PGA untuk beraksi di kejohanan berkenaan dan sekali mendapat keputusan sama Rabu lalu.

"Pada Khamis lalu, selepas empat hari di bawah pemantauan simptom yang dialami semakin teruk, saya demam, sakit otot terutama sekali di bahagian belakang serta sakit kepala. Saya masih merasainya sekarang tapi semakin berkurangan," katanya dalam Instagram.

Norman, yang juga juara dua kali kejuaraan utama di Terbuka British pada 1986 dan 1993 berkata, beliau akan mendapat satu lagi keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan akan terus kuarantin di rumah sehingga dua kali negatif.

Anak Norman, Greg Jr, bermain bersama bapanya di Kejohanan PNC sebelum mengesahkan di media sosial dia dan isterinya disahkan positif ujian virus berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 1:56 PM