Greg Norman (kanan) bersama Jessica Alba
Greg Norman (kanan) bersama Jessica Alba

Legenda golf, Greg Norman (gambar) memperlihatkan sikap `gentlmannya' apabila bersetuju membim­bing pelakon popular Hollywood Jessica Alba pada pusingan akhir Kejohanan Pro-Am Selebriti Dunia Mission Hills di China.

Beliau sebenarnya baru pulih daripada kecederaan tangan selepas kemalangan membabitkan mesin gergaji ketika menebang pokok di kediamannya.

Meskipun hujan dan air bertakung di lapangan, juara kejohanan utama seba­nyak dua kali itu tampil bersemangat membantu Jessica sepanjang kejohanan itu.

Tampil dengan senyuman terukir di wajahnya, Norman menyaksikan Jessica beraksi bersama John Daly dan turut mengambil gambar selfie.

Bintang berusia 59 tahun itu mengalami kecederaan tangan kiri terkena mesin gergaji dan terpaksa menjalani pembedahan di hospital Florida bagi merawat luka dalaman membabitkan saraf kecil.

Norman mengeluarkan kenyataan dalam laman webnya berkata: "Saya memilih untuk menjalani pembedahan di hospital bagi merawat kecederaan saraf.

"Menurut pakar yang mengendalikan kes itu, luka pada tangan kiri akan pulih dengan cepat dan ia bukanlah kecederaan kekal.

"Selepas selesai menjalani pembedahan, saya kembali ke rumah untuk berehat dan menjalani proses pemulihan sebelum diminta Jessica membantunya bermain golf."

Norman menambah lagi: "Terima kasih kepada semua yang prihatin dan ucapan yang diberikan. Saya berharap untuk kembali bermain seperti yang dirancangkan. Tiada yang dapat melemahkan semangat saya."

Beliau turut menceritkan bagaimana kemalangan itu berlaku.

"Saya menghabiskan masa di waktu petang de­ngan membersihkan beberapa batang pokok di belakang rumahnya di Jupiter Island, Florida.

"Ketika memotong pokok, tiba-tiba ranting besar jatuh ke arah saya.

"Saya cuba menangkap ranting itu menyebabkan mesin gergaji terlepas dari tangannya. Ranting yang berat itu menyebabkan ta­ngan terkena gigi gergaji dengan luka agak dalam."

Norman yang lebih dikenali sebagai 'Great White Shark' memuat naik gambar di Twitter dan Instagram ketika menjalani rawatan pemulihan di hospital berkata dia 'sakit' tapi 'beruntung' kerana masih mempunyai tangan kiri.

"Bekerja dengan mesin pemotong pokok perlu sentiasa berhati-hati kerana kejadian tidak dijangka boleh berlaku," katanya.

Norman kemudiannya menyiarkan gambar diri­nya di tempat kejadian bersebelahan dengan pokok yang dikatakan menjadi punca kemalangan itu.

"Kemalangan ini me­nyedarkan saya akan erti pentingnya kehidupan.

"Kerana itu sebaik sembuh, saya terus bersetuju membantu Jessica tanpa sebarang bayaran.

"Saya mahu menolong dan membuat amal. Ada hikmahnya kemalangan itu." jelasnya.

Norman, muncul juara Terbuka pada 1986 dan 1993 juga menamatkan saingan di tempat kedua di dua kejohanan Terbuka AS, dua PGA AS dan tiga kejohanan Masters serta pernah menduduki ranking pertama dunia selama 331 minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:08 AM