NORMAN kembali ke hospital selepas keputusan ujian menunjukkan beliau positif Covid-19. FOTO Agensi
NORMAN kembali ke hospital selepas keputusan ujian menunjukkan beliau positif Covid-19. FOTO Agensi
AFP

Miami: Legenda golf Australia, Greg Norman dikejarkan semula ke hospital untuk menerima rawatan lanjut selepas ujian Covid-19 terkini menunjukkan beliau positif.

Menurut Norman dalam media sosial, Instagram, beliau berharap ini adalah kali terakhir beliau memuat naik mengenai Covid.

Norman terpaksa menghabiskan masa di hospital Sabtu lalu selepas mengalami simptom Covid-19.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia berusia 65 tahun itu yang meraih Terbuka British 1986 dan 1993 menjelaskan semalam bahawa dia sudah dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani kuarantin di Jupiter, Florida.

Selepas keputusan ujiannya menunjukkan positif, Norman berkata hari ini, beliau kembali ke hospital untuk menerima rawatan infusi antibodi dan berharap dapat pulang semula secepat mungkin.

Dalam masa sama beliau juga menasihati peminatnya agar mengambil perkara berkaitan virus berkenaan secara serius.

"Saya cergas dan kuat, masih mampu untuk menahan kesakitan tapi virus berkenaan membuatkan saya berasa sedikit berbeza dan tidak pernah merasai pengalaman seperti ini.

"Otot dan sendi saya berasa sakit sangat. Sakit kepala yang saya alami juga seakan seperti kepala dipahat. Selepas itu saya juga tidak mempunyai deria rasa, bir dan wine rasa sama. Akhir sekali saya bergelut untuk mengingat nama dan perkara. Jadi berhati-hati," katanya.

Norman beraksi di Kejohanan PNC di Orlando minggu lalu bersama anaknya, Greg Jr, tatkala kedua-duanya diuji negatif sebelum dan selepas kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 12:48 PM