WOODS gembira dengan persembahan yang dipamerkan Charlie di Kejohanan PNC. FOTO AFP
WOODS gembira dengan persembahan yang dipamerkan Charlie di Kejohanan PNC. FOTO AFP
AFP

Miami: Charlie Woods membuktikan kehebatan kepada bapanya, Tiger yang juga juara kejohanan utama 15 kali dengan membenam eagle buat pasukan 'Team Woods' di pertandingan keluarga Kejohanan PNC di Orlando, Florida.

Charlie, 11, melakukan pukulan ke green di lubang ketiga yang menawarkan lima par sebelum memasukkan bola dengan putt sempurna pada jarak hampir satu meter untuk mencatat eagle.

Selepas melakukan pukulan sempurna ke bahagian green, Charlie menunjukkan reaksi menggenggam tangan tanda berpuas hati seperti yang sering di lakukan bapanya.

Woods memeluk anaknya, ketika mereka berjalan keluar dari green dan mengatakan kepada Charlia 'Ia eagle yang pertama'.

Hayunan yang dilakukan Charlie persis bapanya begitu juga ketika melakukan putt dan melihat bola berkenaan masuk ke dalam lubang.

Gandingan anak-beranak itu berjaya membenam enam birdie dan satu eagle pada sembilan lubang pertama.

Kedua-dua mereka berjaya mencatat 10 di bawah par 62 untuk berkongsi kedudukan keenam ketinggalan empat pukulan di belakang Matt Kuchar dan anaknya, Cameron.

Vijay Singh dan anaknya, Qass berada di kedudukan kedua, ketinggalan dua pukulan, manakala Greg Norman bersama Greg Junior berkongsi kedudukan dengan Tom dan Sean Lehman serta David dan Brady Duval berada di tempat ketiga.

Kejohanan pertunjukan selama dua hari itu membabitkan 20 pasukan dengan juara kejohanan utama bergandingan bersama ahli keluarga mereka.

Charlie adalah peserta paling muda dalam kejohanan itu dan Woods menjelaskan bahawa sasaran utamanya hanyalah untuk bersuka ria bersama anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 2:02 PM