JAFRI  Firdaus  meraikan jaringan  keenam  bersama rakan sepasukan ketika menentang KL Rovers  di Stadium Likas. FOTO Mohd Adam Arinin
JAFRI Firdaus meraikan jaringan keenam bersama rakan sepasukan ketika menentang KL Rovers di Stadium Likas. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC melayakkan diri dengan mudah ke suku akhir Piala FA 2024 selepas membelasah KL Rovers FC 7-0 dalam aksi Pusingan 16 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Kemenangan besar itu bermula selepas tuan rumah memecah benteng pasukan pelawat pada minit ke-16 menerusi situasi bola mati yang disempurnakan Saddil Ramdani.

Sebelum itu, benteng KL Rovers agak kebal walaupun Sabah jelas lebih menguasai perlawanan dan melancarkan serangan demi serangan dari awal minit permainan.

Gol pertama berkenaan seolah-olah membuka pintu kepada skuad Sang Badak melancarkan serangan lebih berbahaya dan akhirnya berjaya menambah dua lagi gol sebelum babak pertama berakhir.

Jaringan kedua dan ketiga tuan rumah disumbangkan penyerang importnya, Ramon Machado, masing-masing pada minit ke-27 dan ke-44.

KL Rovers juga hampir mencipta peluang keemasan untuk mendapatkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada babak pertama apabila penyerangnya Muhamad Rafie Mat Yaacob dijatuhkan pemain sayap Sabah, S Kumaahran dikotak penalti pada minit ke-37.

Bagaimanapun, semakan pembantu video pengadil (VAR) mendapati kedudukan Muhamad Rafie sudah offsaid sebelum pemain itu dijatuhkan Kumaahran, sekali gus penalti yang mahu diberikan pengadil dibatalkan.

Beralih ke separuh masa kedua, Sabah tidak menunggu lama menambah gol keempat apabila kapten pasukan, Park Taesu menjaringkan gol mudah hasil hantaran Daniel Ting pada minit ke-50.

Lapan minit kemudian, Ramon Machado menambah gol kelima dan yang ketiga untuk dirinya hasil serangan balas pantas.

Sang Badak kemudian menambah gol keenam pada minit ke-72, kali ini menerusi Mohd Jafri Chew dan ia berlaku tidak sampai seminit penjaga gol gantian KL Rovers, Aquila Abdul Rhaman mengambil alih kawalan gawang daripada Ahmad Asyraaf Omar.

KL Rovers terus ditimpa malang apabila Mohd Raffi Nagoorgani menjaringkan gol sendiri pada minit kecederaan untuk gol ketujuh Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:31 PM