Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah FC terpaksa akur untuk melupakan aksi seterusnya dalam saingan Piala Fa musim ini selepas tewas 2-1 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada perlawanan suku akhir di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Skuad Sang Badak yang pada awalnya kelihatan yakin selepas membuka tirai gol pada babak pertama, ditambah penguasaan permainan sepanjang 90 minit perlawanan terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka.

Sabah mendahului jaringan 1-0 pada minit keenam perlawanan melalui sepakan Gabriel Peres selepas Jailton Paraiba dijatuhkan di kotak penalti KL City, memberi kegembiraan awal kepada pasukan tuan rumah untuk mengatasi lawan.

Gol yang mengecewakan pasukan pelawat itu bagaimanapun hanya mampu bertahan kira-kira 23 minit sebelum KL City berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui tendangan kencang kaki kiri Romel Morales pada minit ke-29.

Gembira dengan gol berkenaan, KL City terus mengasak Sabah sebelum sekali lagi skuad bimbingan Bojan Hodak itu berjaya menjaringkan gol melalui T Saravanan pada minit ke-44, sekali gus mengubah situasi Sabah yang mula tertekan.

Saravanan mendapat peluang keemasan berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat selepas kemaraannya gagal dihalang Rizal Ghazali yang berseorangan di kawasan penalti Sabah.

Dengan mendahului 2 - 1, KL City tampak yakin menghabiskan baki permainan masa tambahan separuh masa pertama tanpa banyak masalah meskipun berdepan serangan balas bertubi-tubi pasukan tuan rumah.

DUA pemain KL City cuba menyekat kemaraan pemain Sabah FC.  FOTO Mohd Adam Arinin
DUA pemain KL City cuba menyekat kemaraan pemain Sabah FC. FOTO Mohd Adam Arinin

Bersambung babak kedua, permainan semakin panas berikutan situasi Sabah yang tertekan selepas ketinggalan 2-1, terpaksa bekerja lebih keras untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.

Gol penyamaan penting buat Sabah bagi membolehkan penentuan pemenang diputuskan melalui sepakan penalti memandangkan ia adalah perlawanan kalah mati, namun perkara itu tidak terjadi.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee melakukan banyak cubaan berbahaya termasuk melalui beberapa sepakan percuma dan tendangan sudut sepanjang babak kedua, namun semuanya hampa.

Apa yang menarik, Sabah mempunyai peluang bersiri melalui sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti di hadapan gawang KL City pada minit ke-68, sebelum disusuli sepakan sudut seminit kemudian, namun masih gagal.

KL City yang lebih banyak bertahan dan hanya sekali sekala melancarkan serangan ke arah tuan rumah pada minit-minit akhir permainan akhirnya menarik nafas lega apabila pengadil membunyikan wisel penamat selepas masa tambahan lima minit tamat.

Keputusan 2 - 1 yang memihak kepada KL City tentunya amat berharga buat pelawat dari ibu negara itu kerana berjaya dalam misi untuk ke separuh akhir Piala Fa meskipun Sabah mendahului seawal minit keenam permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 8:04 PM