KASSIM (tengah) menyampaikan piala kepada kapten Sabah FC, Park Taesu selepas perlawanan akhir menentang KL City di Stadium Likas. FOTO Ihsan Sabah FC
KASSIM (tengah) menyampaikan piala kepada kapten Sabah FC, Park Taesu selepas perlawanan akhir menentang KL City di Stadium Likas. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ramon Machado muncul wira Sabah FC selepas menyumbang gol tunggal untuk membolehkan pasukannya muncul juara saingan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Penyerang import dari Brazil itu menghadiahkan gol untuk skuad Sang Badak melalui sepakan penalti pada minit ke-63 selepas dia dijatuhkan pemain KL City, sekali gus mengubah kedudukan kepada 1-0 selepas terikat tanpa jaringan sejak awal permainan.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat berikutan kegagalan beberapa percubaan KL City untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan hasilnya kemenangan berpihak kepada tuan rumah, manakala KL City di tangga kedua.

Sepanjang empat perlawanan sejak 29 April lalu, Sabah menang dua kali termasuk malam ini dengan kali pertama ketika berdepan Hougang United FC dari Singapura, diikuti dua seri tanpa jaringan, masing-masing ketika menentang KL City pada 1 Mei dan Kuching City pada 3 Mei lalu.

KL City pula menang dua kali, masing-masing pada pertemuan dengan Kuching City dan Hougang United dan seri sekali ketika pertemuan kali pertama dengan Sabah sebelum tewas pada perlawanan penentuan malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad Sang Badak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 dan piala kejohanan, manakala KL City menerima RM10,000.

Petang tadi, Kuching City bertemu dengan Hougang United untuk penentuan tempat ketiga dan keempat yang menyaksikan mereka mencatat kemenangan 2-0.

Jaringan Kuching City FC masing-masing disudahkan Mohd Alauddin Farid pada minit ke-18 dan Jordan Mintah pada minit ke-43.

Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, manakala Hougang United FC menerima RM3,000.

Penyampaian hadiah disampaikan selepas selesai perlawanan malam ini oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Kassim Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 11:41 PM