Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Walaupun tewas 4 - 3 di tangan Sabah FC di Stadium Likas malam tadi, Kuching City FC mendapat keyakinan baharu untuk meneruskan aksi yang lebih mantap dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.

Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin, berkata ia berdasarkan prestasi memberangsangkan pasukannya yang berjaya mengikat Sabah 3 - 3 sebelum keputusan berubah pada minit kecederaan.

Katanya, Kuching City bermain lebih baik terutama pada separuh masa kedua, namun nasib memihak kepada Sabah apabila skuad Sang Badak itu berjaya menambah gol keempat yang memberi kemenangan kepadanya kira-kira seminit sebelum wisel penamat.

"Pada awal permainan nampak kita bergelut dengan kesilapan mudah yang membolehkan Sabah mendapat dua gol. Selepas separuh masa pertama dan selepas dapat arahan daripada jurulatih Irfan Bakti, nampak ada perubahan dan kita mendapat gol awal.

"Selepas itu kita dapat tambah dua gol lagi menjadikan kedudukan 3 - 3. Kedudukan tiga sama itu saya anggap satu keputusan yang adil, tapi dalam bola sepak selagi wisel tak tiup selagi itu tak boleh kata dah selamat," katanya.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului 2 - 0 pada separuh masa pertama, sebelum pemain Kuching City mengasak bermula awal babak kedua permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan 3 - 3.

Kedudukan itu bagaimanapun berubah 4 - 3 seminit sebelum wisel penamat dibunyikan apabila penyerang import baharu Sabah, Ramon Machado de Macedo berjaya merembat gol keempat pada minit ke-93.

Sulaiman berkata, beliau menganggap Sabah bernasib baik dalam perlawanan malam tadi kerana berjaya merembat gol kemenangan pada minit kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:10 PM
PEMAIN Sabah FC meraikan jaringan kemenangan Skuad Badak pada minit kecederaan selepas Ramon De Macedo menjaringkan gol keempat. -FOTO Mohd Adam Arinin
PEMAIN Sabah FC meraikan jaringan kemenangan Skuad Badak pada minit kecederaan selepas Ramon De Macedo menjaringkan gol keempat. -FOTO Mohd Adam Arinin