JOH (dua kiri) menyerahkan jersi ‘Tagap’ kepada Hajiji ketika kunjungan hormat di Sri Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
JOH (dua kiri) menyerahkan jersi ‘Tagap’ kepada Hajiji ketika kunjungan hormat di Sri Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC memerlukan sokongan berterusan kerajaan negeri bagi menyuntik semangat pasukan dalam mengharungi musim baharu Liga Super yang bermula hari ini.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata sokongan itu penting bagi memastikan skuad Sang Badak dapat terus bersaing dalam Liga Malaysia.

Katanya, komitmen diberikan kerajaan negeri terhadap pasukan amat dihargai dan ia dijadikan motivasi untuk pihak pengurusan dan pemain berusaha memberi yang terbaik untuk menaikkan imej bola sepak negeri.

"Bagi pihak pengurusan Sabah FC, kami mengucapkan terima kasih atas komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan pasukan ini terus bersaing dalam Liga Malaysia.

"Sudah tentu sokongan kerajaan negeri ini akan menyuntik semangat Sabah FC bagi memastikan pencapaian dan sasaran yang ditetapkan akan dapat diterjemahkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Sri Gaya, di sini, semalam.

Kunjungan itu diketuai Timbalan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang dan Naib Presiden SAFA, Datuk Alijus Sipil.

Dalam pertemuan singkat itu, Mohd Joh memberi taklimat ringkas berkaitan persiapan Sabah FC menjelang sepak mula Liga Super 2024/2025 menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas yang dijadual bermula pada jam 5.45 petang ini.

Pada kunjungan itu, Md Joh turut menyerahkan jersi 'home' Sabah FC bagi musim 2024/25 yang dinamakan 'Tagap' kepada Hajiji.

Sabah FC dijangka beraksi tanpa kehadiran dua tonggak utamanya, Saddil Ramdani dan Ramon Machado pada aksi sulung Liga Super, petang ini berikutan masalah kecederaan.

Semalam, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata beliau tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain yang masih mengalami kecederaan berikutan perjalanan Liga Super baru bermula.

Selain dua pemain terbabit, katanya seorang lagi pemain, S Kumaahran juga berada dalam senarai kecederaan manakala penjaga gol, Damien Lim tidak dapat beraksi selama enam hingga lapan minggu berikutan kecederaan ketika perlawanan Piala SMJ sebelum ini.

Damien disahkan mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) ketika beraksi pada saingan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) berdepan Hougang United FC dari Singapura pada 29 April lalu.

Kim Swee berkata, penilaian akhir kesebelasan utama skuad Sang Badak akan dibuat sebelum sepak mula petang ini, sama ada Saddil dan Machado dapat bermain atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 2:40 PM