Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Penyerang import baharu, Ramon Machado menjadi penyelamat Sabah FC daripada dimalukan apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan pasukan kelompok bawahan, Kuching City 4-3 di Stadium Likas, hari ini.

Machado menyumbang gol kemenangan itu seminit sebelum wisel penamat sekali gus membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee meraih tiga mata penting di laman sendiri.

Gol keempat Sabah pada minit ke-93 itu juga adalah jaringan kedua Machado pada aksi pertamanya bersama skuad Badak selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-26 hasil hantaran Saddil Ramdani.

Sebelum itu, Saddil mencipta gol pertama buat Sabah hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-11.

MACHADO (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Kuching City FC. FOTO Mohd Adam Arinin
MACHADO (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Kuching City FC. FOTO Mohd Adam Arinin

Ketinggalan 0-2 menyaksikan anak buah Irfan Bakti Abu Salim bangkit dengan aksi agresif pada babak kedua yang menyaksikan mereka merapatkan jurang menerusi Amir Amri Salleh pada minit ke-54.

Sabah kembali selesa apabila Stuart John Wilkin menjadikan kedudukan 3-1 apabila merembat dari luar kotak penalti pada minit ke-57.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pelawat apabila Abu Kamara menjadikan kedudukan 2-3 apabila bijak memperdaya penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan empat pertahanan Sabah pada minit ke-66 sebelum menjaringkan gol penyamaan 3-3 empat minit sebelum tamat aksi.

Bagaimanapun, harapan Kuching City untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berkecai apabila Machado menjaringkan gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 9:29 PM