Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan saingan separuh profesional, Liga A1 MBSB Bank 2024-2025 akan diteruskan dengan penyertaan 15 pasukan selepas Kelantan FC menarik diri.

Lima pasukan baharu dan 10 pasukan sedia ada bakal mengharungi 210 perlawanan sepanjang kejohanan yang akan membuka tirai 1 Jun depan dan berakhir Februari 2025.

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata semua pasukan sudah diberikan tempoh lanjutan pendaftaran pemain sehingga semalam.

"Walau bagaimanapun Kelantan FC membuat keputusan untuk menarik diri memandangkan pasukan terbabit masih lagi dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) menyebabkan mereka hanya boleh mendaftar pemain sedia ada.

"Walaupun Kelantan FC berusaha sebaik mungkin, namun mereka tidak berjaya mendaftarkan minimum 20 pemain sebagaimana yang kita tetapkan kepada semua pasukan," katanya.

Terdahulu,Presiden TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman dalam kenyataan mengesahkan penarikan diri pasukan itu dan akan fokus menyelesaikan beberapa masalah termasuk kes di Fifa sebelum kembali menyertai liga bola sepak pada masa akan datang.

Selain itu, Mohd Yusoff berkata, kejohanan yang kini memasuki musim kedua penganjuran dengan penaja utama iaitu MBSB Bank memperlihatkan keyakinan dan sokongan pemain industri bola sepak tempatan.

"Secara rasmi 15 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam.

"Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FC, Bunga Raya Damansara FC, KL Rovers, UiTM United dan PT Athletic FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 3:08 PM