DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Bernama
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) memberi peringatan bahawa pasukan Liga M3 yang gagal melunaskan gaji pemain mereka turut akan dikenakan tindakan susulan seperti berlaku di kelab Liga Super.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan pasukan Liga M3 mempunyai dua kategori kontrak ditandatangani iaitu membabitkan profesional dan amatur.

Katanya, pemain yang menandatangani kontrak profesional namun tidak dibayar gaji seperti termaktub dalam perjanjian boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

"Walaupun Liga M3 bertaraf semi profesional, namun hanya ada dua status kontrak pemain iaitu profesional dan amatur.

"Pemain yang menandatangani kontrak profesional tidak perlu bimbang jika gaji mereka tidak dibayar boleh membuat aduan seperti biasa kepada FAM untuk siasatan.

"Situasi terbabit sekali gus menafikan dakwaan bahawa pemain di Liga M3 'dianak tiri' jika mereka berhadapan situasi tunggakan gaji kelak,"katanya ketika ditemui Arena Metro.

Mengikut rekod, terdapat beberapa pasukan yang beraksi di Liga M3 pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji hingga menyebabkan timbul kebimbangan nasib pemain jika mereka berhadapan situasi terbabit sebaik saingan bermula kelak.

Malah, Mohd Yusoff sebelum ini juga pernah menasihati semua pasukan bertanding dalam Liga M3 musim 2023 supaya menetapkan harga siling pemain bagi memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji.

Beliau berkata, barisan pengurusan pasukan perlu bijak mengatur strategi dalam merangka jumlah gaji akan ditawarkan serta perlu berbelanja mengikut kemampuan kelab.

Mengikut rekod sebanyak 14 pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim 2023 yang sudah dinaik taraf menjadi liga semi profesional yang akan bermula bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 3:58 PM