STUART Ramalingam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
STUART Ramalingam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya Perlis United FC (PUFC) yang bakal beraksi di Liga Super musim 2024/2025 sebenarnya tiada kaitan dengan Perlis yang dibelenggu masalah gaji atau kewangan pada 2019 lalu.

Perkara terbabit didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam yang memberitahu bahawa PUFC ketika ini tidak boleh dikaitkan dengan masalah kewangan atau tunggakan gaji sehingga dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Malah, Stuart turut menjelaskan Perlis United bukanlah baharu dalam kancah bola sepak Liga Bolasepak Amatur (AFL) apabila sudah dua tahun beraksi dalam saingan itu selain turut memiliki struktur organisasi yang sistematik.

Beliau berkata, pasukan yang berpengkalan di utara tanah air itu juga tidak dikenakan sebarang sekatan atau tindakan sekali gus dibenarkan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Kenapa tak tanya soalan ini semasa dia (PUFC) main AFL?... Dia pasukan yang berbeza, sebab itu dia boleh teruskan. Dalam Fifa, Perlis United boleh daftarkan pemain dan bermain.

"Dahulu adalah Perlis FA (Persatuan Bolasepak Perlis), ini PU (PUFC), berbeza, macam Melaka United dan Melaka FC yang kena ban (sekatan) dulu pasukan berbeza.

"MFL tidak menubuhkan pasukan baharu atau angkat pasukan yang baharu saja ditubuhkan. Pasukan ini sudah dua tahun di AFL," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan menerusi satu sesi temuduga dijalankan oleh First Instance Body (FIB) baru-baru ini memanggil empat wakil kelab termasuk KL Rovers, Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United.

Begitupun menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL, badan pengurusan liga itu mengumumkan Perlis United menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Situasi terbabit sekali gus menimbulkan persoalan di kalangan penyokong bola sepak tanah air berikutan pasukan Perlis sebelum ini pernah dipalit beberapa isu hingga dikenakan tindakan oleh Fifa.

Mengikut rekod, PFA dikenakan hukuman penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak oleh Fifa sejak awal 2019 kerana berhadapan masalah tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain Perlis yang sehingga kini belum lagi diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:19 PM