MOHD Yusoff Mahadi (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib pada Majlis Perjanjian Penajaan antara AFL dengan MBSB Bank Berhad, tahun lalu.
MOHD Yusoff Mahadi (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib pada Majlis Perjanjian Penajaan antara AFL dengan MBSB Bank Berhad, tahun lalu.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC sah menyertai Liga M3 dan perkara itu disahkan Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Sebelum ini Kelantan FC disingkirkan dari Liga Super musim ini kerana gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad The Red Warriors (TRW) itu.

Menurut Yusoff Mahadi lagi, sebanyak 16 pasukan akan bersaing musim ini, peningkatan penyertaan berbanding tahun sebelumnya iaitu 12 pasukan.

"Secara rasmi 16 pasukan ini termasuk Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.

"Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusoff Mahadi memaklumkan Perlis United bersama SAINS FC dan Sarawak United FC menjadi tiga pasukan musim lalu menarik diri dari Liga M3 musim ini.

"Kami menerima penarikan diri tiga pasukan ini kerana mengakui sedang mengalami pelbagai kekangan khususnya dari segi kewangan pasukan," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan AFL akan menjenamakan semula nama dan logo pertandingan dengan memperkenalkan Liga A1 Semi Pro sebagai nafas baharu kepada Liga M3.Katanya, Liga M4 pula akan ditukar kepada Liga A2 manakala Liga M5 bertukar nama kepada Liga A3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 5:33 PM