Kenyataan berhubung penarikan diri Kelantan FC dari saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini
Kenyataan berhubung penarikan diri Kelantan FC dari saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pasukan Kelantan mengesahkan menarik diri dalam saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini.

Pengumuman itu akhirnya menoktahkan penantian penyokong yang selama ini mengharapkan 'keajaiban' untuk The Red Warriors (TRW) terus bernafas dalam kancah arena bola sepak negara.

Perkara mengejutkan itu diumumkan Presiden Kelantan FC, Norizam Tukiman dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi pasukan, TRW Kelantan FC, semalam.

Dalam kenyataan itu, Norizam atau Zamsaham memaklumkan keputusan itu dibuat selepas beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan.

Katanya, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalam pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lalu yang masih tertunggak serta menyelesaikan kesPersekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan.

"Kami percaya menyelesaikan kewajipan isu tunggakan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru, oleh itu dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantanc memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship musim 2024," katanya dalam kenyataan itu.

Pihaknya turut dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan pihak berkepentingan.

"Kelantan FC juga ingin memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super musim lalu dan tidak menyertai liga musim ini," katanya.

Skuad kijang merah turut mengucapkan terima kasih kepada AFL kerana memberi persetujuan dan menerima pasukannya untuk beraksi di Liga A1 Semi-Pro sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 8:46 AM