YUSOFF (dua dari kiri) berkata sekiranya Kelantan terus diberikan peluang beraksi, terdapat ruang untuk kelab itu berusaha menyelesaikan tunggakan gaji pemain. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
YUSOFF (dua dari kiri) berkata sekiranya Kelantan terus diberikan peluang beraksi, terdapat ruang untuk kelab itu berusaha menyelesaikan tunggakan gaji pemain. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Faktor kenegerian menyebabkan Liga Bolasepak Amatur (AFL) 'berlembut hati' mempertimbangkan menerima Kelantan FC beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro.

Walaupun, AFL teruk dikecam kerana membenarkan Kelantan FC beraksi dalam Liga A1 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga M3 namun tindakan terbabit dilakukan bagi memastikan pasukan negeri itu tidak hilang dari rada Liga Malaysia.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya menerima Kelantan FC atau dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) kerana statusnya sebagai pasukan negeri selain mahu mengelak daripada pasukan terbabit terkubur.

Beliau berkata, sekiranya Kelantan terus diberikan peluang beraksi, terdapat ruang untuk kelab itu berusaha menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

"Isu tunggakan gaji Kelantan sama macam kes Sarawak United tahun lalu. Kita memandang sebagai pasukan negeri yang mana kita patut bagi peluang mereka bermain.

"Pertama faktor pasukan negeri, apabila faktor negeri kita bagi sedikit budi bicara dan keduanya kita tak nak pasukan ini mati. Contoh seperti Melaka United, pasukan itu mati dan tiada orang nak jaga (selesaikan tunggakan gaji) pemain.

"Kalau kita masih lagi bagi peluang bermain, bermakna masih lagi ada pengurusan pasukan yang bertanggungjawab untuk bayar (tunggakan gaji). Maknanya ada ruang untuk mereka bina semula pasukan dan ada peluang mereka selesaikan tunggakan gaji.

"Soal tunggakan gaji itu, tindakan adalah di bawah bidang kuasa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)," katanya pada sidang media selepas Majlis Penjenamaan dan Pelancaran Logo Baharu Pertandingan AFL, di sini, sebentar tadi.

Penjenamaan itu menyaksikan Liga M3 kini dikenali sebagai Liga A1 manakala Liga M4 dan M5 dikenali sebagai Liga A2 dan Liga A3 Komuniti.

Selain itu, Mohd Yusoff menjelaskan Kelantan diberikan tempoh sehingga 8 Mei depan untuk mengesahkan pendaftar minimum 20 pemain bagi beraksi dalam Liga A1.

"Mengenai penyertaan Kelantan sudah lengkap, cuma dari segi pendaftaran pemain sahaja. Kelantan dikenakan sekatan untuk daftar pemain baharu, tapi kita tak kata mereka tak boleh buat (selesaikan), mungkin mereka boleh selesaikan masalah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:04 PM